Pasukan SMART Di Nepal Kembali Ke Malaysia Hari Ini Atau Esok - Mohamad Hasan

12 Sep 2026 • 4:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Pasukan SMART Di Nepal Kembali Ke Malaysia Hari Ini Atau Esok - Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Nepal dijangka pulang ke tanah air hari ini atau esok, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata peralatan seperti dron milik pasukan itu telah diserahkan kepada pasukan penyelamat di Nepal untuk kegunaan misi pencarian mangsa bencana banjir kilat dan tanah runtuh di negara itu.

“Pihak berkuasa Nepal (buat masa ini) tidak berhasrat mengumumkan penamatan usaha mencari dan menyelamat (SAR) kerana masih ada 5,000 orang yang berada dalam kategori tidak dapat dikesan.

“Ketua pasukan SMART akan memberikan laporan dan membuat penilaian untuk langkah seterusnya supaya kita tidak membuat keputusan terburu-buru dan jika mereka (Nepal) perlu bantuan daripada Malaysia, kita boleh pertimbangkan agar dapat membantu,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita semasa melawat Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.

Pasukan SMART MAS01 yang menyertai HADR tiba di negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada 5 Sept.

Baca juga:

Pasukan yang terdiri daripada 11 anggota dan pegawai berlepas ke Nepal dengan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa peralatan SAR seberat 12.4 tan.

Sementara itu, Mohamad berkata Kedutaan Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung dengan kerajaan Nepal untuk mendapatkan maklumat mengenai status terkini rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam tragedi pada 26 Ogos itu.

Beliau berkata ia bagi membolehkan urusan seperti insurans dan yang berkaitan dapat diuruskan oleh waris.

“Di Nepal, mana-mana individu yang hilang (atau) tidak dapat ditemui, sijil kematian hanya boleh dikeluarkan selepas tiga tahun, (tetapi) di Malaysia, tujuh tahun.

“Itu sebabnya kita minta kedutaan di sana berurusan dengan kementerian (di Nepal) untuk (mengetahui) cara waris terdekat mendapatkan dokumen yang boleh mengesahkan status rakyat Malaysia yang masih tidak ditemui,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved