
KATHMANDU: Jumlah mangsa yang masih hilang di Nepal dan China kini melebihi 2,400 orang susulan bencana banjir besar yang melanda kedua-dua negara beberapa hari lalu.
Bencana itu berlaku selepas aliran air dan serpihan besar seperti tsunami melanda beberapa kampung, mengorbankan ratusan nyawa serta menghanyutkan mangsa hingga ke India.
Pasukan penyelamat terus mencari mangsa dalam timbunan lumpur, namun operasi berdepan ancaman banjir baharu.
Setakat ini, sebanyak 586 mayat ditemukan, termasuk beberapa mangsa yang dihanyutkan arus hingga ke India.
Pihak berkuasa bencana Nepal turut menambah 933 pekerja sektor hidroelektrik ke dalam senarai individu yang masih hilang.
Sebelum ini, senarai berkenaan turut merangkumi pendaki dan jemaah yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash, lokasi suci di Tibet.
Di Kathmandu, anggota keluarga mangsa memenuhi hospital bagi mencari saudara mereka yang masih belum ditemui.
Poster memaparkan gambar dan nama individu yang hilang turut ditampal di dinding hospital bagi membantu usaha mengenal pasti keberadaan mereka.
“Ini sudah hari ketiga dan kami masih tidak tahu apa-apa. Harapnya dia berada di tempat yang selamat. Kami kehilangan segala-galanya. Dia adalah segala-galanya bagi kami,” kata Samjhana Thing, 27, kepada AFP mengenai abangnya.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, bencana itu merupakan yang paling banyak meragut nyawa di Nepal sejak gempa bumi 2015 dan berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran besar serpihan ais.
Aliran besar ais dan lumpur itu turut menyebabkan pembentukan beberapa tasik besar, termasuk satu tasik yang kini menjadi ancaman langsung kepada pasukan penyelamat yang sedang mencari mangsa di kawasan terbabit.
Polis Nepal menggesa semua anggota penyelamat supaya “segera berpindah ke lokasi selamat” selepas menerima maklumat bahawa “empangan air sekali lagi pecah di kawasan Tibet”.
Di Tibet, China terpaksa menggantung operasi menyelamat di kawasan paling teruk terjejas di Gyirong pada 28 Ogos berikutan risiko banjir susulan, sebelum memaklumkan ancaman itu semakin reda.
Penyiar negara CCTV melaporkan sebuah tasik yang terbentuk akibat timbunan serpihan besar mula melimpah ke arah laluan yang digunakan pasukan penyelamat, namun paras air kemudian dilaporkan menurun.
Susulan itu, operasi menyelamat diteruskan ‘secara teratur’, menurut laporan berkenaan.
Presiden China, Xi Jinping, yang mempengerusikan mesyuarat mengenai usaha menyelamat pada 28 Ogos, turut menawarkan bantuan Beijing kepada operasi kecemasan di Nepal.- AFP
The post Banjir Nepal: Penyelamat giat cari lebih 2,400 mangsa hilang appeared first on Utusan Malaysia.





