
KUALA LUMPUR: Lokasi terakhir kira-kira 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan tragedi banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-Tibet dipercayai berada dalam tiga kumpulan perjalanan berasingan dengan lokasi terakhir mereka dikesan sekitar Rasuwagadhi.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan berkata, lokasi terakhir ketiga-tiga kumpulan itu merangkumi kawasan di sebelah Nepal dan Tibet, China.
Katanya, berdasarkan maklumat yang ada dan pergerakan terakhir kumpulan berkenaan masih ada kemungkinan sebahagian atau ramai rakyat Malaysia yang hilang berada di atau berhampiran kawasan imigresen atau kastam China.
“Mereka juga mungkin terperangkap dalam banjir ketika melintasi sempadan atau sudah melepasi pemeriksaan imigresen dan dalam perjalanan menuju Gyirong atau Kerung.
“Justeru, kami merayu kerajaan Malaysia segera berhubung dengan kerajaan China melalui saluran diplomatik bagi mendapatkan maklumat yang disahkan mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), mangsa terselamat, korban serta mana-mana rakyat Malaysia yang mungkin ditemukan di sebelah Tibet,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, lebih 70 ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang turut hadir pada sidang media berkenaan.
Mengulas lanjut, Manivannan berkata, kumpulan pertama membabitkan 23 rakyat Malaysia dan tiga warga Singapura.
Spectrum Horizon Services disenaraikan sebagai pengendali pelancongan Malaysia bagi kumpulan itu, manakala Pristine Himalayan Trekkers Pvt Ltd adalah pengendali di Nepal dan Leaf Holidays Treks and Expedition sebagai syarikat pengeluar permit.
Berdasarkan dokumen perjalanan, kumpulan itu dijadual masuk dari Kyirong pada 26 Ogos lalu dan keluar melalui Kyirong pada 4 September depan.
Kumpulan kedua pula terdiri daripada sembilan rakyat Malaysia dengan Summit Attack Resources sebagai pengendali pelancongan Malaysia dan Adventure White Himalaya Treks sebagai pengendali di Nepal.
Dream Tibet Travel & Tours Pvt Ltd pula disenaraikan sebagai syarikat pengeluar permit.
Katanya, kumpulan berkenaan dijadual masuk dari Kyirong pada 26 Ogos lalu sebelum meneruskan perjalanan dengan jadual keluar dari Lhasa ke Chongqing pada 2 September depan.
“Kumpulan ketiga membabitkan 17 rakyat Malaysia dengan Karunanithi Sundram disenaraikan sebagai pengendali pelancongan Malaysia. Fishtail Tours & Travels Pvt Ltd pula disenaraikan sebagai pengendali di Nepal dan syarikat pengeluar permit.
“Turut disenaraikan bersama kumpulan ketiga ialah seorang warga Britain dan dua warga Amerika Syarikat. Kumpulan itu dijadual masuk dari Kyirong pada 26 Ogos lalu sebelum keluar semula melalui Kyirong pada 4 September depan,” katanya.
Manivannan berkata, keluarga ketika ini menerima maklumat terutama mengenai perkembangan di sebelah Nepal, namun hanya sedikit atau tiada maklumat secara langsung mengenai aktiviti SAR dan keadaan di sebelah Tibet, China.
“Keluarga tidak sepatutnya terpaksa bergantung pada maklumat yang tidak lengkap daripada sumber tidak rasmi untuk menentukan sama ada insan tersayang mereka sudah ditemui,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Manivannan berkata, MASFIH turut mengesan percanggahan ketara dalam rekod rasmi membabitkan kumpulan kedua.
Katanya, sembilan rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan bersama Adventure White Himalayan Treks tidak kelihatan disenaraikan dalam maklumat orang hilang Lembaga Pelancongan Nepal bertarikh 26 Ogos lalu.
Beliau berkata, MASFIH mengambil masa dua hari untuk mendapatkan dokumen permit dan perjalanan kumpulan itu sebelum mengenal pasti Dream Tibet Travel & Tours sebagai syarikat yang mengeluarkan permit.
“Kami memohon kerajaan Malaysia membangkitkan percanggahan ini dengan pihak berkuasa Nepal dan mendapatkan pengesahan serta penyelarasan segera rekod rasmi orang hilang,” katanya. – UTUSAN
The post 49 rakyat Malaysia dipercayai di sempadan Nepal-Tibet appeared first on Utusan Malaysia.






