
KUALA SELANGOR: Kadar hujan sehingga 103 milimeter (mm) turun pada petang semalam didakwa menjadi punca kepada kejadian banjir yang berlaku di sekitar Bandar Puncak Alam dan juga Ijok, di sini.
Malah, titik tertinggi hujan tersebut turun di dalam Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, sehingga menyebabkan banjir kilat turut berlaku di kampus institusi berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri ini, limpahan air dari situ turut mengalir ke kawasan seperti di Hillpark dan Taman Seri Alam, Saujana Utama.
“Semalam dianggarkan lebih 100 mm hujan turun dan saya sedang mencari penyelesaian supaya kalau berlaku lagi hujan sedemikian bagaimana kita akan tangani sebab yang di bawah (Hillpark) menerima limpahan air di kawasan ini (UiTM Puncak Alam).
“Di Puncak Alam berlaku dua kejadian banjir pada 4 (kelmarin) dan 5 November (semalam) kemudian ada air dari daerah Petaling mengalir melalui Sungai Subang yang memberi kesan kepada Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak yang akhirnya sampai ke Saujana Aman dan beberapa kawasan lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama beberapa agensi dan pengurusan UiTM Puncak Alam meninjau kawasan banjir kilat seperti yang tular dalam media sosial semalam.
Beliau menjelaskan, kejadian banjir turut berlaku di sekitar Ijok susulan limpahan air Sungai Buloh yang masih belum reda sehingga memaksa lebih 700 penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Amirudin memberitahu, kejadian banjir di kawasan berkenaan turut disebabkan oleh perbuatan vandalisme yang merosakkan ban di sungai itu di Batu 7, Ijok sehingga mencetuskan banjir di Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau, Jeram.
Dalam pada itu beliau turut mengulas isu pembersihan Hutan Simpan Bukit Cherakah dan menafikan aktiviti tersebut menjadi punca kejadian banjir di beberapa tempat di UiTM Puncak Alam, Sungai Buloh, Saujana Aman dan Ijok.
“Yang di Bukit Cherakah mungkin memberi kesan kepada Puncak Alam. Yang itu (di kawasa Bukit Cherakah) tiada kejadian banjir, Alhamdulillah. Yang di sini (UiTM Puncak Alam) titiknya di sini.
“(Bagaimanapun) saya minta disemak balik segala kelulusan yang dibenarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat (kolam) tadahan air sementara. Kita tak mahu mereka sambil lewa, kalau tak lengkap mungkin boleh menyebabkan runtuhan,” jelasnya. –UTUSAN
The post Hujan 103 mm turun punca banjir di Puncak Alam, kawasan sekitar appeared first on Utusan Malaysia.






