Mercedes-Benz Malaysia lancarkan stesen pengecas EV ke-6 di Bamboo Hills

LocalTechnology
7 Oct 2025 • 12:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mercedes-Benz Malaysia lancarkan stesen pengecas EV ke-6 di Bamboo Hills

image is not available

07/10/2025 - 12:24

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt – Mercedes-Benz Malaysia memperluaskan lagi rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menerusi kerjasama strategik dengan DC Handal melalui pelancaran hab pengecasan yang ke-6 di Bamboo Hills Kuala Lumpur.

Langkah itu adalah satu pencapaian penting Mercedes-Benz Malaysia dalam memperkukuh infrastruktur stesen pengecasannya di seluruh negara serta menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti lestari.

Stesen pengecas baharu di Bamboo Hills itu dibangunkan dengan kerjasama Hap Seng Star sebagai sebahagian daripada pelan berterusan syarikat untuk memperluas akses pengecasan menerusi rangkaian pengedarannya.

Dengan menempatkan stesen pengecasan di lokasi berkepadatan tinggi seperti Bamboo Hills, jenama automotif mewah itu mempertingkatkan kemudahan kepada pemilik EV, menjadikan pemilikan kenderaan elektrik itu lebih mudah dan menyeronokkan.

Mercedes-Benz Malaysia sebelum ini telah bekerjasama dengan beberapa pengendali utama seperti JomCharge, ChargeEV, Gentari dan P.UP.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang berkata, pelancaran di Bamboo Hills mencerminkan komitmen strategik syarikat untuk memperkukuh ekosistem EV di Malaysia.

“Kerjasama dengan DC Handal dan Hap Seng Star memastikan setiap kenderaan elektrik kami disokong oleh stesen pengecasan yang kukuh dan pintar.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan strategi global Ambition 2039, yang memacu hala tuju Mercedes-Benz ke arah mobiliti lestari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available

Sementara itu, Pengarah DC Handal, Zamri Mahmud berkata, kerjasama dengan Mercedes-Benz Malaysia merupakan langkah penting dalam menyediakan infrastruktur pengecasan berprestasi tinggi yang memenuhi keperluan pemandu EV premium.

“Melalui kepakaran teknikal kami dan visi Mercedes-Benz terhadap mobiliti mewah lestari, kami memastikan stesen pengecasan EV bukan sahaja pantas, malah diintegrasikan secara lancar ke dalam gaya hidup harian rakyat Malaysia,” katanya.

Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia & SEA II, Edmin Naidoo pula berkata, fasa baharu strategi pengecasan ini bukan sekadar membina stesen, tetapi memberi pengalaman perjalanan yang bermakna kepada pelanggan.

“Melalui kerjasama ini, kami mahu pelanggan merasai integrasi lancar di setiap hentian sama ada di rumah, dalam perjalanan atau di destinasi gaya hidup mewah seperti Bamboo Hills,” katanya.

Menjelang akhir 2025, Mercedes-Benz Malaysia bersama rakan runcitnya merancang untuk memperluas lagi rangkaian stesen pengecasan di seluruh negara.

Langkah ini memperkukuh komitmen syarikat dalam membentuk ekosistem mobiliti elektrik yang pintar, lancar dan mudah diakses.

Setakat ini, Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan 11 model kenderaan elektrik bateri (BEV) di pasaran tempatan, termasuk Mercedes-Benz G 580 dengan Teknologi EQ, memberikan pelanggan kebebasan memilih mobiliti elektrik yang sesuai dengan gaya hidup mereka. - DagangNews.com

standard