Tambahan 20 kaunter luaskan liputan dalam FBM KLCI

Business & Finance
22 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tambahan 20 kaunter luaskan liputan dalam FBM KLCI

PETALING JAYA: Penambahan 20 kaunter dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur Composite Index (FBM KLCI) dijangka menjadikan penanda aras pasaran ekuiti Malaysia lebih menyeluruh serta meningkatkan liputan dalam pelbagai industri.

Ia susulan pengesahan Bursa Malaysia dan FTSE Russell mengenai penambahbaikan terhadap Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, susulan rundingan pasaran pada April lalu.

Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, FBM KLCI akan ditambah daripada 30 kepada 50 kaunter, sekali gus meningkatkan liputannya terhadap permodalan pasaran Pasaran Utama kepada kira-kira 70 peratus daripada 60 peratus ketika ini.

Ujarnya, FBM70 pula akan dikurangkan daripada 70 kepada 50 kaunter dan dinamakan semula sebagai Indeks Mid Cap FTSE Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, cadangan untuk mengehadkan pemberat setiap syarikat dalam FBM KLCI kepada 10 peratus tidak akan dilaksanakan.

“Perubahan itu bertujuan meningkatkan liputan pasaran serta kepelbagaian sektor dalam indeks berkenaan.

“Perubahan terbesar ialah pelaksanaannya dalam dua fasa bagi mengurangkan kesan terhadap pasaran serta memastikan proses pengimbangan semula portfolio dapat dilakukan secara teratur,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, sebanyak 20 kaunter tambahan dalam FBM KLCI akan dimasukkan pada 50 peratus daripada pemberat akhir indeks masing-masing pada 21 Disember 2026, sebelum dinaikkan kepada 100 peratus pada 21 Jun 2027.

“Kaunter baharu itu akan dipilih berdasarkan kedudukan permodalan pasaran penuh, tertakluk kepada pematuhan terhadap kriteria kelayakan indeks FTSE Bursa Malaysia.

“Pemilihan akan dibuat berdasarkan data pasaran pada 23 November 2026, manakala senarai akhir kaunter baharu akan diumumkan semasa semakan keputusan separuh tahunan pada 3 Disember 2026,” katanya.

Berdasarkan simulasi menggunakan harga saham pada 20 Ogos 2026, pengembangan FBM KLCI kepada 50 kaunter akan mengurangkan pemberat sektor perkhidmatan kewangan kepada kira-kira 36.8 peratus daripada 42.8 peratus, manakala sektor utiliti kepada 15.8 peratus daripada 18.8 peratus.

Pada masa sama, keterwakilan dan pemberat sektor hartanah, perindustrian, tenaga, pengguna dan teknologi dijangka meningkat.

Menurut Ivy, kaunter baharu yang berpotensi dipilih dijangka mendapat manfaat daripada pembelian berkaitan indeks, peningkatan keterlihatan dalam kalangan pelabur institusi serta potensi peningkatan kecairan dagangan.

“Bagaimanapun, berbeza dengan andaian awal mengenai satu proses pengimbangan semula, aliran masuk dana pasif ke dalam 20 kaunter baharu itu kini dijangka diagihkan dalam dua peringkat.

“Separuh daripada pelarasan pemberat indeks akan berlaku pada Disember 2026, manakala bakinya pada Jun 2027,” katanya. – UTUSAN

The post Tambahan 20 kaunter luaskan liputan dalam FBM KLCI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved