Bapa didakwa 21 pertuduhan cabul dua anak perempuan

6 Aug 2026 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa didakwa 21 pertuduhan cabul dua anak perempuan
Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 21 pertuduhan mencabul dua anak perempuan kandungnya, sejak April lalu.

IPOH - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 21 pertuduhan mencabul dua anak perempuan kandungnya, sejak April lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa masing-masing berusia 13 dan 16 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Seri Iskandar, dalam daerah Perak Tengah antara minggu pertama April hingga 26 Julai 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta berkenaan kerana wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Selain itu, di bawah Seksyen 16(1) akta sama, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta minimum dua sebatan.

Tertuduh yang masih beristeri mempunyai tiga orang anak, termasuk kedua-dua mangsa yang merupakan anak sulung dan anak kedua dalam keluarga tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan dan memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu atau menghubungi mangsa serta saksi pendakwaan, selain dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,750 berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh 14 September depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved