Bapa didakwa bunuh bayi 18 bulan, kes dibuka semula selepas hampir tiga tahun

28 Jul 2026 • 2:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bapa didakwa bunuh bayi 18 bulan, kes dibuka semula selepas hampir tiga tahun

JOHOR BAHRU – Misteri kematian seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang pada awalnya disiasat sebagai kes pengabaian akhirnya terbongkar apabila polis menahan bapa kandung mangsa selepas hampir tiga tahun kejadian berlaku.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, lelaki berusia 40 tahun itu diberkas selepas siasatan lanjut membawa kepada pengelasan semula kes daripada kes pengabaian kepada kes bunuh.

Menurut beliau, laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 13 September 2023 selepas mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan lebam pada bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi hari sama.

“Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang siasatan dijalankan, seramai 13 individu termasuk ahli keluarga serta keluarga pengasuh mangsa dipanggil bagi membantu siasatan selain sampel darah mereka diambil untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun, katanya, analisis Jabatan Kimia gagal mengenal pasti suspek kerana kesan cecair yang dipercayai air mani ditemukan pada bahagian dubur mangsa tidak mencukupi untuk dianalisis dan dibandingkan.

Menurut Ab. Rahaman, siasatan yang diteruskan akhirnya membawa kepada penahanan bapa kandung mangsa pada 8 Julai lalu, diikuti penahanan bapa saudara mangsa yang berusia 35 tahun pada 22 Julai bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati bapa kandung mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Bapa saudara mangsa pula memiliki 13 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati dia positif ganja,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah diliwat oleh bapa kandungnya, namun perkara itu masih dalam siasatan polis.

Tambah beliau, pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik suspek turut menemukan gambar dan video lucah.

“Susulan penemuan baharu itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

“Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, manakala bapa saudara mangsa yang telah dibebaskan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post Bapa didakwa bunuh bayi 18 bulan, kes dibuka semula selepas hampir tiga tahun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved