
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 47 tahun yang merogol anak perempuannya berusia 18 tahun sebelum mengugut membunuh mangsa jika mendedahkan kejadian itu kepada orang lain dihukum penjara 16 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Lelaki itu merogol anaknya pada jam 7 pagi, 4 Mac tahun ini di sebuah rumah di Beaufort.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 10 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki berkenaan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 Mac lalu dan menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ketika rayuan meringankan hukuman, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan sambil menyatakan penyesalannya terhadap perbuatannya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dan memberi kesan pencegahan, mengambil kira keseriusan kes berkenaan.
Beliau berkata lelaki itu merupakan bapa kandung mangsa yang sepatutnya memberikan perlindungan, penjagaan dan keselamatan kepada anaknya namun sebaliknya menggunakan kedudukan, pengaruh serta kepercayaan dalam keluarga untuk melakukan jenayah tersebut.
Afiqah berkata mangsa turut mendedahkan bahawa beberapa kejadian rogol telah berlaku sebelum kejadian terakhir pada 4 Mac lalu menunjukkan wujudnya corak penderaan seksual yang berulang dan berterusan, bukannya kejadian terpencil.
Beliau turut berhujah bahawa ugutan untuk membunuh mangsa sekiranya dia mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa merupakan tindakan terancang untuk mendiamkan mangsa dan membolehkan penderaan tersebut berterusan.
Menurutnya perbuatan itu menunjukkan tahap kesalahan yang tinggi serta sikap tidak menghiraukan kebajikan dan kesejahteraan mangsa.
Mahkamah diberitahu bahawa lelaki berkenaan telah menarik tangan anaknya untuk memaksanya masuk ke dalam sebuah bilik sebelum merogol mangsa di situ.
Selepas kejadian lelaki itu mengugut untuk membunuh anaknya sekiranya dia memberitahu sesiapa mengenai perbuatan tersebut.
Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama dan susulan laporan itu lelaki berkenaan ditahan pada keesokan harinya.
Siasatan mendapati lelaki terbabit sebelum ini turut merogol mangsa beberapa kali sebelum kejadian terakhir pada 4 Mac tahun ini.





