Bapa sebabkan kematian bayi dua bulan dihukum penjara maksimum 30 tahun

11 Aug 2026 • 5:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bapa sebabkan kematian bayi dua bulan dihukum penjara maksimum 30 tahun

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Seorang lelaki yang merayu hukuman penjara terhadapnya kerana menyebabkan kematian anak perempuannya berusia dua bulan dikurangkan, sebaliknya dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, yang menyampaikan keputusan panel tiga hakim berkata walaupun pihak pendakwaan tidak membuat rayuan balas terhadap hukuman itu, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara di bawah Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA) untuk meningkatkan hukuman Muhammad Daniel Iman Mohd Sharif.

Turut bersidang dalam panel itu Hakim Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.

Hayatul Akmal berkata hukuman penjara 16 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak mencerminkan keseriusan kesalahan dan keganasan yang dilakukan.

Mahkamah mengetepikan hukuman penjara 16 tahun dan menggantikan dengan hukuman maksimum 30 tahun penjara di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Ogos 2022.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hayatul Akmal berkata mahkamah telah mengambil kira hakikat bahawa mangsa merupakan bayi berusia dua bulan yang tidak berdaya serta bergantung sepenuhnya kepada perlindungan ibu bapanya.

“Malangnya, dalam kes ini bayi tersebut sebaliknya dianiaya. Perbuatan ini bukan kejadian terpencil, sebaliknya merupakan tindakan berulang yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata pada 30 Julai 2022, ibu bayi berkenaan terdengar tangisan anaknya dari ruang tamu, yang turut didiami oleh perayu.

Beliau berkata perayu kemudian mengangkat bayi itu dari atas kusyen yang diletakkan dilantai sebelum menghempaskannya, menyebabkan bayi itu menangis sebelum pada keesokkan harinya perayu menarik tangan bayi tersebut, menekan perut dan sekali lagi menghempaskannya di atas kusyen sehingga kepalanya terhantuk pada bucu meja, menyebabkan kecederaan pada kepala.

Hayatul Akmal berkata laporan bedah siasat mengesahkan bahawa bayi berkenaan meninggal dunia akibat trauma tumpul pada kepala.

Beliau berkata hujahan perayu bahawa Mahkamah Tinggi tidak mengambil kira usianya yang masih muda adalah tidak setimpal dengan sifat ganas perbuatannya.

Beliau berkata hukuman penjara 30 tahun itu akan memberi masa dan peluang kepada perayu untuk merenung semula perbuatan kejamnya, memperbaiki diri serta menjadi manusia yang lebih baik, selain menjadi peringatan kepada perayu dan masyarakat secara keseluruhan.

Terdahulu, Muhammad Daniel menerusi peguamnya K.A. Ramu merayu agar hukuman penjara diringankan dengan meminta mahkamah mengambil kira dia baru berusia 21 tahun ketika melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata Muhammad Daniel, 25, pada awalnya didakwa atas pertuduhan membunuh tetapi pihak pendakwaan menerima representasinya untuk menurunkan pertuduhan kepada kesalahan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha memberitahu mahkamah bahawa walaupun pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan balas terhadap hukuman tersebut, mahkamah masih boleh meningkatkan hukuman berkenaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60 CJA

Pada Mei lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman penjara 16 tahun ke atas Muhammad Daniel selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian bayi perempuannya di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, antara 30 hingga 31 Julai 2022.

Muhammad Daniel masih mempunyai satu lagi peluang untuk membuat rayuan iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved