
Kota Kinabalu: Seorang jurujual dari Pulau Pinang dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin kerana terbabit secara tidak langsung dalam transaksi tidak sah membabitkan RM1,000 menggunakan akaun bank miliknya.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Joo Hong, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Tan melakukan transaksi debit tidak sah daripada seorang lelaki dikenali sebagai Lam Hon Ket ke dalam akaun bank miliknya pada jam 12.24 tengah hari, 1 Mei lalu di Taman Chempaka, Jalan Tuaran Bypass.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun atau denda antara RM10,000 hingga RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika rayuan meringankan hukuman Tan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dalam bentuk penjara.
Beliau berkata Seksyen 424C Kanun Keseksaan diperkenalkan bagi menangani penggunaan dan transaksi tidak sah membabitkan instrumen pembayaran serta akaun kewangan khususnya susulan peningkatan kegiatan akaun keldai oleh sindiket jenayah.
Bryan berkata kesalahan sedemikian semakin berleluasa dan meningkat di Malaysia.
“Pesanan tegas diperlukan sebagai langkah pencegahan bagi membendung kesalahan ini. Orang awam menuntut tindakan serius diambil terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan juga peringatan kepada mereka yang mungkin melakukan kesalahan sama,” katanya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pengadu Lam Hon Ket membuat laporan berhubung satu skim pinjaman wang tanpa lesen.
Menurut pengadu sekitar November 2024 dia membuat pinjaman daripada beberapa ejen tidak dikenali menerusi WhatsApp. Jumlah keseluruhan pinjaman yang diperolehnya ialah RM116,400.
Pengadu kemudian diarahkan membuat bayaran balik secara berkala yang melebihi jumlah pinjaman diterimanya.
Dia telah membuat bayaran berjumlah RM113,450 ke dalam 12 akaun bank berbeza.
Bagaimanapun ejen pinjaman itu kemudian mengugut pengadu dan menuntutnya melangsaikan baki pinjaman tambahan berjumlah RM177,400.
Pengadu turut diugut bahawa gambar dirinya dan keluarganya akan disebarkan di media sosial sekiranya gagal membuat bayaran.
Dia juga diberitahu ejen terbabit akan datang ke kediamannya untuk menuntut bayaran tertunggak.
Siasatan lanjut mendapati Tan adalah antara pemilik akaun yang menerima bayaran daripada pengadu berkaitan pinjaman berkenaan.
Tan merupakan pemegang akaun bank yang digunakan untuk menerima wang RM1,000 daripada pengadu.
Tan kemudiannya ditahan dan sepanjang siasatan dia gagal memberikan penjelasan mengenai bagaimana wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.





