
MELAKA – Kebebasan seorang pemuda berusia 21 tahun selepas lebih dua tahun menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney hanya bertahan kira-kira 30 minit sebelum dia didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap seorang lagi adiknya.
Pemuda yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu kini berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuannya yang berusia 15 tahun.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan mencium, meraba dan menghisap payudara remaja berkenaan.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Kampung Umbai, Merlimau dalam daerah Jasin kira-kira jam 1 tengah hari pada 6 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan menarik seluarnya sebelum menyandarkan badan terhadap mangsa kira-kira jam 9.30 malam pada 20 Ogos lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Difahamkan, tertuduh yang juga anak sulung daripada empat beradik sebelum ini pernah disabitkan atas kesalahan merogol seorang lagi adiknya yang ketika kejadian berusia 15 tahun.
Dia kemudian menjalani hukuman lebih dua tahun sebelum dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 6 Jun lalu.
Berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah, pertuduhan pertama dalam kes terbaharu itu membabitkan kejadian kira-kira jam 1 tengah hari pada hari sama, iaitu sekitar 30 minit selepas pembebasannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.
Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau mendekati mangsa serta diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan memaklumkan dia baru keluar dari pusat pemulihan dan mahu membantu ekonomi keluarganya.
Hakim Raja Noor Adilla kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 September depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
The post Baru 30 minit bebas Henry Gurney, pemuda didakwa cabul adik lain pula appeared first on MYBERITA.






