Lelaki dikhuatiri lemas semasa turun tangkap udang di laut

12 Sep 2026 • 7:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki dikhuatiri lemas semasa turun tangkap udang di laut

KANGAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas turun ke laut menangkap udang dalam kejadian di kawasan perairan Sungai Baru berhampiran Pulau Batu Layang, Kuala Perlis, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 pagi itu, mangsa, Khairul Amir Baharoom, 33, bersama abangnya, Khairul Izuwan Baharoom, 39, dikatakan telah turun ke laut bagi melakukan kerja mencari udang dengan menggunakan bubu naga.

Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, semasa dalam perjalanan pulang, mangsa dipercayai telah terjatuh ketika sedang mengemudi bot.

Katanya, mangsa selepas itu tidak dapat dikesan oleh abangnya.

“Bila mangsa jatuh ke dalam laut, abang mangsa cuba mencari tetapi tidak jumpa disebabkan keadaan gelap dan difahamkan mangsa juga ada sawan.

“Mangsa berkemungkinan diserang sawan lalu jatuh ke laut. Selepas tidak menjumpai mangsa, abangnya mengambil keputusan balik semula ke daratan,” katanya ketika ditemui di pusat operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan di Sungai Baru, di sini, hari ini.

Nak Rong berkata, selepas menerima maklumat kejadian, anggota Maritim bersama pasukan keselamatan lain bekerjasama menyumbangkan aset masing-masing bagi melakukan kerja mencari dan menyelamat.

Katanya, radius pencarian pula bermula dari titik lokasi kejadian dan akan diperluaskan sehingga menemui sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangan mangsa berkenaan.

“Kita juga turut memohon bantuan nelayan yang keluar pada waktu malam untuk membantu bagi mencari mangsa berkenaan,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mesyuarat penyelarasan melibatkan pasukan sahabat turut dilaksanakan bagi menyelaras tindakan mencari dan menyelamat mangsa terlibat.-UTUSAN

The post Lelaki dikhuatiri lemas semasa turun tangkap udang di laut appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved