
KUNAK, 26 Ogos (Bernama) -- Tiga individu maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 7 Jalan Kunak-Semporna di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kunak Supt Rejali AK Angong berkata dalam kejadian 6.03 petang itu, pemandu dan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Dalam kejadian itu, sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima penumpang terdiri daripada dua orang dewasa dan tiga kanak-kanak dalam perjalanan pulang dari Kalabakan menuju ke rumah mereka di Kampung Sungai Langgas di sini.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nenek Dan Cucu Maut, Kereta Dipandu Cucu Rempuh Pokok di Pasir Mas
Guru, Anak Maut Dalam Kemalangan Di Rompin
Rejali berkata kemalangan itu turut menyebabkan tiga penumpang cedera dengan seorang daripadanya parah dan mereka dikejarkan ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






