Baucar Deepavali RM200 bantu pesara, ibu tunggal jimat belanja perayaan

LocalPersonal Finance
25 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Baucar Deepavali RM200 bantu pesara, ibu tunggal jimat belanja perayaan

PUCHONG, 25 OKT: Baucar Deepavali bernilai RM200 yang disediakan Kerajaan Selangor membantu pesara dan warga emas membuat persiapan perayaan tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan sendiri.

Pesara bank, M. Jeyanthi, 61, berkata bantuan itu amat bermakna kerana dapat mengurangkan perbelanjaan isi rumah, sekali gus membolehkannya menyimpan wang persaraan untuk keperluan lain.

Beliau berkata, sebelum ini wang simpanan persaraan khususnya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi sumber utama untuk menampung perbelanjaan harian, termasuk membeli barangan keperluan rumah.

“Bila dapat baucar ini, saya tak perlu keluarkan banyak duit KWSP. Saya boleh gunakan baucar untuk membeli barang dapur seperti beras, gula dan bahan keperluan lain yang boleh digunakan untuk tempoh agak lama,” katanya ketika ditemui selepas menerima baucar Jom Shopping Perayaan Deepavali di sini, semalam.

Sementara itu, ibu tunggal, S. Saraswathy, 55, berkata baucar berkenaan amat membantu membuat persiapan Deepavali lebih-lebih lagi ketika dia masih belum bekerja dan tinggal bersama seorang anak yang masih belajar.

Menurutnya, baucar itu diterimanya buat kali kedua selepas mendapat bantuan sama tahun lalu, sekali gus membantunya menyediakan keperluan rumah tanpa terlalu membebankan kewangan sendiri.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana bantuan ini memang banyak menolong kami membuat persiapan perayaan. Sebagai ibu tunggal yang tidak bekerja, saya perlu menguruskan perbelanjaan sendiri dan anak masih belajar.

“Saya berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan kerana ia benar-benar membantu keluarga seperti saya,” katanya.

Bagi pemandu teksi, S. Krishnan, 61, pula, beliau sanggup meninggalkan kerjanya seketika untuk mendapatkan baucar kerana bantuan berkenaan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan Deepavali.

“Seronok tinggal di Selangor kerana ada pelbagai bantuan disediakan. Menjelang perayaan, kita pun dapat bantuan awal untuk membeli barang keperluan.

“Dengan baucar ini, saya boleh membeli barangan Deepavali dan sudah tentu keluarga akan gembira,” ceritanya yang menerima baucar daripada Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Sebelum ini, EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu memaklumkan sebanyak 26,354 baucar Program Jom Shopping Perayaan Deepavali diagihkan kepada penerima layak tahun ini, membabitkan peruntukan RM5.27 juta.

Program itu dilaksanakan serentak di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 17 Oktober hingga 7 November.

Menurutnya, kaedah pengagihan dikekalkan seperti tahun sebelumnya dengan baucar diserahkan kepada pejabat DUN masing-masing sebelum diagihkan kepada penerima untuk membeli barangan di pasar raya terpilih.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved