Baucar Kita Selangor diperluas, had pendapatan isi rumah RM8,000 kini layak

21 Sep 2026 • 5:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Baucar Kita Selangor diperluas, had pendapatan isi rumah RM8,000 kini layak

SHAH ALAM, 21 SEPT: Had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi Baucar Kita Selangor dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 dan ke bawah, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga menikmati manfaat inisiatif berkenaan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata penerima yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima baucar bernilai RM600 bagi pembelian keperluan makanan, perubatan dan pendidikan.

"Had pendapatan bulanan isi rumah bagi Baucar Kita Selangor kini dinaikkan kepada RM8,000 dan ke bawah berbanding RM5,000 sebelum ini.

"Baucar bernilai RM600 ini boleh digunakan untuk pembelian makanan, perubatan dan pendidikan," katanya.

Menurutnya, agihan Baucar Kita Selangor dilaksanakan secara berfasa sehingga Disember 2026.

Image from: Baucar Kita Selangor diperluas, had pendapatan isi rumah RM8,000 kini layak
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada Program Libat Urus Taska dan Pusat Jagaan Tidak Berdaftar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pemohon perlu memenuhi tujuh syarat kelayakan termasuk warganegara Malaysia, mempunyai pendapatan bulanan isi rumah RM8,000 dan ke bawah serta merupakan pemilih berdaftar di Selangor.

"Pemohon juga perlu menetap dan mempunyai alamat tempat tinggal di Selangor, manakala kelayakan dihadkan kepada seorang penerima bagi setiap isi rumah.

"Pemohon dan pasangan juga mestilah bukan penerima aktif Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)," ujarnya.

Tambah Anfaal pemohon perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 18 tahun dan ke bawah, termasuk ibu atau bapa tunggal akibat perceraian atau kematian pasangan.

"Keluarga perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 18 tahun dan ke bawah, termasuk ibu atau bapa tunggal melalui perceraian atau kematian.

"Orang ramai boleh membuat semakan kelayakan menerusi portal rasmi Baucar Kita Selangor," katanya.

Image from: Baucar Kita Selangor diperluas, had pendapatan isi rumah RM8,000 kini layak
Foto Facebook Anfaal Saari

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan untuk Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.

Baucar Kita Selangor merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved