amree21/09/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Kerajaan Selangor memperluas kelayakan Baucar Kita Selangor (BKS) kepada isi rumah berpendapatan bulanan sehingga RM8,000 berbanding had sebelum ini hanya RM5,000.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, perluasan syarat itu dibuat sebagai sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi membantu rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
Menurutnya, pelaksanaan BKS pada peringkat awal memberi keutamaan kepada golongan rentan termasuk ibu tunggal dan ketua isi rumah miskin tegar, sebelum diperluas kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.
"Dengan perubahan terbaharu itu, permohonan BKS kini dibuka kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan RM8,000 atau kurang, dengan permohonan perlu dibuat menerusi aplikasi SELangkah," jelasnya dalam kenyataan.
Anfaal berkata pemohon yang permohonannya masih dalam semakan, pernah ditolak atau sedang membuat rayuan akan dinilai semula berdasarkan kriteria kelayakan yang telah dipinda.
Antara syarat utama ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan pengundi berdaftar yang menetap di Selangor.
Bagi pasangan berkahwin atau ibu bapa tunggal, pemohon juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 18 tahun atau ke bawah, selain memenuhi had pendapatan isi rumah RM8,000 sebulan.
Kerajaan negeri menetapkan hanya seorang penerima bagi setiap isi rumah dibenarkan menerima manfaat BKS bagi mengelakkan pertindihan penerima dalam keluarga yang sama.
Pemohon juga tidak boleh menjadi penerima aktif program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) pada masa permohonan dibuat.
Perluasan kelayakan itu merupakan sebahagian pendekatan kerajaan negeri untuk menangani kesan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi yang berpunca daripada krisis bekalan global.
Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, proses permohonan dan pelaksanaan BKS boleh diperoleh melalui portal rasmi BKS iaitu https://baucarkitaselangor.com - DagangNews.com






