hamden18/09/2026 - 09:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept - Kerajaan menaikkan had penggunaan elektrik bersubsidi bagi isi rumah kepada 800 kilowatt-jam (kWh) sebulan daripada 600kWh sehingga 31 Disember 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bermakna pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800kWh sebulan akan dikecualikan daripada Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), caj peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga tarikh berkenaan.
Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan meringankan tekanan kos sara hidup yang dihadapi isi rumah.
"Keadaan jerebu dan cuaca lebih panas baru-baru ini telah menyebabkan penggunaan elektrik sesetengah isi rumah melebihi 600kWh, sekali gus mengakibatkan bil elektrik lebih tinggi," katanya.
AFA melaraskan caj penjanaan elektrik setiap bulan bagi mencerminkan perubahan harga bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain.
Apabila harga bahan api dan kos penjanaan lain meningkat, AFA boleh menyebabkan caj elektrik lebih tinggi, manakala kos yang lebih rendah pula boleh mengurangkan pelarasan tersebut.
Anwar berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat dan beban kos sara hidup, keselamatan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Suruhanjaya Tenaga kerana membolehkan pelaksanaan langkah berkenaan dilakukan dengan segera. - DagangNews.com





