
SHAH ALAM, 29 SEPT: Cubaan seorang lelaki membawa 2,000 pil kuda bernilai kira-kira RM30,000 ke Ampang, Selangor gagal selepas dia ditahan polis di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, semalam.
Suspek berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika anggota Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menjalankan sekatan pemeriksaan di lokasi berkenaan, lapor Kosmo!.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata suspek yang memandu Toyota Vios cuba melarikan diri sebaik tiba di sekatan sebelum berjaya diberkas.
Pemeriksaan dalam kenderaan itu kemudian menemukan 2,000 pil kuda seberat kira-kira 200 gram.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan miliknya dan diperoleh daripada seorang lelaki di Kota Bharu untuk dihantar ke Ampang.
“Dadah itu dipercayai untuk diedarkan kepada warga Myanmar dan Bangladesh di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.






