Bawa dadah dari Serdang ke Alor Gajah: Pasangan kekasih, rakan berdepan tiga pertuduhan

LocalPolitics
6 May 2026 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bawa dadah dari Serdang ke Alor Gajah: Pasangan kekasih, rakan berdepan tiga pertuduhan
Kesemua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Rabu.

ALOR GAJAH – Seorang pemandu wanita bersama kekasih serta seorang rakan yang melarikan diri menaiki Honda City sejauh 135 kilometer dari Serdang, Selangor sebelum diberkas di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai di sini pada minggu lalu berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret pada Rabu.

Tertuduh, M Udaya Kumar, 44: Fairous Saad, 42 dan Mohamad Rafeq Mohd Johari, 23, didakwa atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine, manakala pertuduhan ketiga adalah memasukkan dadah ke dalam badan sendiri.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama memiliki dadah berbahaya jenis heroin seberat 2.16 gram di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai sekitar jam 11.50 pagi, 29 April 2026.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga dan tidak lebih sembilan kali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.65 gram di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di mahkamah, Udaya Kumar mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee, manakala Fairous dan Mohamad Rafeq mengaku tidak bersalah.

Bagi pertuduhan ketiga, kesemua tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan masing-masing.

Fairous dan Mohamad Rafeq didapati mengambil dadah jenis methamphetamine, manakala Udaya Kumar melibatkan dadah jenis morfin.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, dibaca bersama Seksyen 38B.

Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara sehingga dua tahun serta dikenakan perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan tinggi dikenakan dengan mengambil kira tertuduh melarikan diri dari Serdang ke Alor Gajah ketika tangkapan dibuat.

Beliau mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua serta RM7,000 bagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Augustine Soosay memohon jaminan rendah dengan alasan semua tertuduh mempunyai tanggungan, termasuk Fairous yang menanggung tiga anak masih bersekolah, manakala dua lagi tertuduh menyara ibu bapa yang uzur dan sakit.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan jaminan RM9,200 bagi setiap tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan satu kejadian yang mana sebuah MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang mengejar sebuah kereta Honda City berwarna hitam sekitar jam 8 malam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Serdang, Selangor.

Pasukan peronda kemudian telah mengarahkan kereta yang dalam keadaan mencurigakan itu untuk berhenti, namun pemandu enggan memberi kerjasama sebelum memecut laju untuk melarikan diri.

Kenderaan itu dikejar hingga ke persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Alor Gajah sebelum kereta suspek hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang dipandu seorang lelaki tempatan.

Pemeriksaan polis mendapati kenderaan tersebut dinaiki kesemua suspek dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah.