Bawa Ganja Hidroponik Bernilai RM520,000, Lelaki Malaysia Ditahan Di Chennai

3 Sep 2026 • 8:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bawa Ganja Hidroponik Bernilai RM520,000, Lelaki Malaysia Ditahan Di Chennai

CHENNAI - Seorang lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun ditahan pihak berkuasa India selepas disyaki membawa masuk 3.452 kilogram ganja hidroponik bernilai kira-kira RM520,000,  yang disembunyikan dalam sebuah beg pakaian.

Kejadian pada 31 Ogos itu merupakan kes kedua membabitkan rakyat Malaysia yang didakwa membawa masuk ganja hidroponik ke Chennai dalam tempoh hanya sebulan.

Menurut laporan United News of India (UNI), suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna dari Kuala Lumpur sebelum cuba keluar melalui laluan Green Channel tanpa membuat sebarang pengisytiharan kepada pihak Kastam.

Bagaimanapun, pergerakannya mencetuskan kecurigaan pegawai Unit Risikan Udara Kastam Chennai (AIU) yang ketika itu menjalankan pemeriksaan dan pemprofilan penumpang.

Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi daftar masuk suspek membawa kepada penemuan empat paket lutsinar kedap udara yang disorokkan di dalam ruang dasar palsu beg berkenaan.

Paket tersebut mengandungi bahan kering berwarna hijau kecoklatan seberat 3,452 gram yang disyaki ganja hidroponik.

Ujian menggunakan kit pengesanan dadah kemudiannya mengesahkan bahan berkenaan positif ganja, sebelum ia dirampas mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) India 1985.

Suspek ditahan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan direman dalam tahanan kehakiman, sementara siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa yang lebih besar.

Terdahulu pada 8 Ogos, seorang lelaki Malaysia, berusia 54 tahun dari Perak ditahan di Chennai, juga atas kesalahan sama.

Dia ditahan selepas pihak Kastam India mendakwa menemui 4.033 kilogram ganja hidroponik dalam simpanannya selepas tiba dari Bangkok.

Pihak Kastam India kemudian mengesahkan penahanan tersebut, manakala Bukit Aman memaklumkan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Thailand. - Getaran, 3 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved