
Bagi mereka yang gemar berkunjung ke Genting Highlands untuk beristirahat, kini perjalanan anda akan dikenakan caj. Tol ini mula berkuat kuasa pada 28 Mei 2026 dan akan dilaksanakan dalam dua fasa. Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) memaklumkan bahawa semua pengguna jalan raya (kecuali mereka dalam kategori pengecualian) wajib membayar caj ketika memasuki Jalan Genting Highlands.
Bayaran akan dikutip di dua pintu masuk utama iaitu Genting Sempah dan bulatan Gohtong Jaya. Untuk kadar bayaran, kereta atau van dalam Kelas 1 dikenakan RM5 setiap kali masuk, lori sederhana Kelas 2 RM15, lori berat Kelas 3 RM25 manakala teksi dikenakan RM3.30 dan bas RM5. Namun begitu, motosikal, kenderaan kecemasan serta kenderaan milik penjawat awam di institusi kerajaan tertentu di Genting Highlands dikecualikan daripada caj ini.

Tujuan caj ini adalah untuk mengumpul dana bagi kerja penyelenggaraan jangka panjang. Dana tersebut akan digunakan untuk menurap semula jalan, mengukuhkan cerun, menambah sistem pemantauan, memperbaiki saliran serta menyediakan tindak balas kecemasan sekiranya berlaku tanah runtuh, batu jatuh atau cuaca buruk.
Pada fasa kedua yang bermula 28 Jun 2026, penduduk tetap Genting Highlands boleh mendaftar sehingga dua kenderaan Kelas 1 untuk menikmati diskaun sebanyak 10%. Selain itu, mereka juga boleh memohon pas musim enam bulan yang membolehkan kemasukan tanpa had sepanjang tempoh sah laku. Pas ini boleh digunakan melalui Lorong LPR atau Lorong Khas bagi memberikan kemudahan lebih baik serta penjimatan kos.
Road charges for Jalan Genting Highlands#BernamaNews #BernamaInfographic #JalanGentingHighlands #GentingHighlands pic.twitter.com/5Bp3QXT79Z
— BERNAMA (@bernamadotcom) May 25, 2026





