Berkuat Kuasa 28 Mei Ini! Jalan Raya Masuk Genting Highlands Dikenakan Caj, Kadar RM3.30 Hingga RM25

LocalTravel
26 May 2026 • 10:02 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands, akan melaksanakan caj jalan raya secara berfasa bermula 28 Mei dan 28 Jun 2026.

Dalam kenyataan, LCSB memaklumkan semua pengguna jalan raya yang dibenarkan, selain daripada kategori yang dikecualikan, dikehendaki membayar caj berkenaan ketika memasuki Jalan Genting Highlands bermula 28 Mei ini.

Caj akan dikutip di dua lokasi utama iaitu Pintu Masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan Pintu Masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.

Bagi struktur caj, kenderaan Kelas 1 (kereta dan van) dikenakan bayaran RM5 bagi setiap kemasukan di kedua-dua pintu masuk tersebut.

Image from: Berkuat Kuasa 28 Mei Ini! Jalan Raya Masuk Genting Highlands Dikenakan Caj, Kadar RM3.30 Hingga RM25

Lori sederhana (Kelas 2) dikenakan RM15, manakala lori berat (Kelas 3) RM25. Teksi (Kelas 4) pula dikenakan RM3.30, sementara bas (Kelas 5) RM5.

“Kenderaan di bawah Kelas 2, 3, 4 dan 5 dikehendaki masuk melalui lorong Lorong Khas atau pengecaman plat lesen (LPR),” menurut LCSB dalam kenyataan itu.

LCSB turut memaklumkan kenderaan kecemasan, motosikal serta kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan tertentu di Genting Highlands dikecualikan daripada caj berkenaan.

Image from: Berkuat Kuasa 28 Mei Ini! Jalan Raya Masuk Genting Highlands Dikenakan Caj, Kadar RM3.30 Hingga RM25

Sementara itu, berkuat kuasa 28 Jun 2026, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 bagi penduduk tetap Genting Highlands yang layak, dengan kadar keutamaan 10 peratus lebih rendah daripada kadar biasa setiap kemasukan menggunakan lorong LPR atau Lorong Khas.

“Kenderaan berdaftar tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun, 2026,” katanya.

Selain itu, LCSB turut memperkenalkan skim pas bermusim enam bulan khusus untuk penduduk tetap berdaftar yang melayakkan kemasukan tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah laku.

“Penduduk tetap yang berminat boleh mendapatkan pas bermusim dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran diperlukan,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA

The post Berkuat Kuasa 28 Mei Ini! Jalan Raya Masuk Genting Highlands Dikenakan Caj, Kadar RM3.30 Hingga RM25 appeared first on Borak Daily.