
Bayi lelaki masih bernyawa ditemukan tertimbus dalam tanah berhampiran rumah sewa di Kapit. Bayi itu kritikal dan dirawat di Hospital Sibu.
KAPIT: Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemukan tertimbus dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport di sini pada hari Selasa (Okt 27).
Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu berkata bayi yang baharu dilahirkan tu ditemukan anggota polis selepas terdengar tangisannya ketika menjalankan pencarian di lokasi berkenaan.
“Polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 2.30 petang semalam. Pada waktu itu, anggota terdengar tangisan bayi sebelum melakukan pencarian dan menemukannya tertimbus dalam tanah,” katanya semalam.
Rohana berkata bayi yang berada dalam keadaan kritikal itu dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan ibunya juga sudah dikenal pasti namun siasatan belum dilakukan kerana dia sedang dirawat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.






