
IPOH: Mayat seorang lelaki Orang Asli ditemukan di Sungai Choh berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh di Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.42 pagi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan polis bahawa mayat lelaki berkenaan berada di dalam sungai kira-kira 500 meter dari jalan utama.
“Berdasarkan keadaan fizikal mangsa, lelaki berkenaan telah meninggal dunia.
“Operasi mengeluarkan mayat dilakukan menggunakan pengusung jenis scoop stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi melibatkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dibantu 10 anggota polis itu tamat pada pukul 12.35 tengah hari. – UTUSAN
The post Mayat lelaki Orang Asli ditemukan dalam sungai appeared first on Utusan Malaysia.






