Bayi Palestin meninggal dunia kerana ambulans dihalang Israel

WorldPolitics
29 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bayi Palestin meninggal dunia kerana ambulans dihalang  Israel

NABLUS: Petugas kesihatan Palestin memaklumkan seorang bayi meninggal dunia ketika dilahirkan oleh ibunya di dalam ambulans selepas kenderaan berkenaan didakwa dihalang dan dilengahkan oleh tentera Israel di sebuah pos kawalan di Tebing Barat pada Isnin.

Wanita berusia 28 tahun yang hamil enam bulan itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sewaktu pasukan perubatan mengambilnya dari kediamannya di kampung Qaryout, selatan bandar Nablus, kata petugas perubatan Bashar Qaryouti kepada AFP.

“Beliau mengalami pendarahan yang sangat teruk dan berada dalam keadaan amat kritikal,” kata Qaryouti.

Wanita itu memakai topeng oksigen sebelum ambulans bergegas menuju ke Hospital Rafidia di Nablus. 

Bagaimanapun, kenderaan tersebut terpaksa berdepan kesukaran bagi mencari laluan yang tidak ditutup, tambah Qaryouti.

Laluan masuk ke sebuah kampung berhampiran telah ditutup, memaksa ambulans menggunakan laluan tanah merah merentasi ladang zaitun sebelum sampai di pos kawalan Awarta. 

Namun, pintu pagar di situ ditutup rapat dan barisan panjang kenderaan telah mula beratur.

Qaryouti memandu ambulans ke hadapan barisan dan membunyikan siren  bagi memohon laluan cemas.

Beliau memberitahu bahawa beberapa anggota tentera keluar dari menara kawalan berhampiran kira-kira 10 minit kemudian dan mengarahkannya untuk mematikan enjin serta siren ambulans.

Qaryouti menjelaskan kepada tentera berkenaan bahawa peralatan perubatan di dalam kenderaan itu sedang digunakan bagi menampung dan menyelamatkan nyawa pesakit.

“Mereka memaksa saya di bawah ugutan senjata api untuk mematikan enjin kenderaan,” katanya dan menambah bahawa tentera terbabit turut merampas kad pengenalan kesemua jururawat dan pemandu.

Sebagai maklum balas kepada permintaan ulasan daripada AFP, pihak tentera Israel menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan dakwaan bahawa anggota IDF melengahkan ambulans di pos kawalan Awarta adalah tidak benar.

Dalam pada itu, semasa ambulans itu tersangkut dan tidak dibenarkan bergerak, keadaan kesihatan wanita berkenaan semakin merosot. 

Jururawat yang mengiringi wanita itu terpaksa membantunya melahirkan bayi di dalam kenderaan berkenaan, kata Qaryouti.

“Bayi tersebut lahir dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya. – AFP

The post Bayi Palestin meninggal dunia kerana ambulans dihalang Israel appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved