
SHAH ALAM, 24 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima kos ubah suai tiga rumah berjumlah RM302,499.27, sembilan tahun lalu.
Adi Azuan, 56, meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, lapor Berita Harian.
“TIdak mengaku salah, Yang Arif,” katanya dari kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu Ketua Pegawai Operasi TH didakwa menerima benda berharga berupa kos pengubahsuaian tiga rumah daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.
Tiga rumah itu terletak di Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13, Shah Alam; Jalan Sepah Puteri 5/20B, Kota Damansara; dan Jalan USJ Height 2/2A, Subang Jaya.
Kos ubah suai masing-masing berjumlah RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.
Tertuduh didakwa mengetahui individu berkenaan mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya ketika memegang jawatan berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 7 Mac 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM70,000 berserta syarat tambahan.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000 dengan mengambil kira tanggungan keluarga serta keadaan kesihatan anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga Malaysia yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.
Beliau turut diperintahkan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap tiga bulan bermula Oktober, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November.






