Bekas jurulatih taekwondo didakwa ‘sentuh’ dua pelatih perempuan

19 Oct 2026 • 1:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas jurulatih taekwondo didakwa ‘sentuh’ dua pelatih perempuan

KOTA BHARU – Seorang bekas jurulatih kelab latihan taekwondo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan kontak fizikal bukan persetubuhan terhadap dua kanak-kanak perempuan yang merupakan pelatihnya.

Tertuduh, Soufa Pinyousos, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah melakukan kontak fizikal bukan persetubuhan dengan maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun tiga bulan ketika kejadian.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh Soufa dituduh melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika mangsa berusia 13 tahun tujuh bulan dan 14 tahun.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penkara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan keempat, Soufa didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak yang sama dengan pertuduhan kedua dan ketiga.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Keempat-empat kesalahan itu dilakukan di sebuah kelab latihan taekwondo di Jalan Pengkalan Chepa di sini pada waktu petang September 2017, pukul 10 malam April 2025, 10 malam 20 Ogos 2025 dan kira-kira pukul 12 tengah hari antara 17 hingga 18 Februari 2026.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali dan Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Mohd. Zain dan Zubairi Salleh.

Terdahulu, Siti Arina mencadangkan jaminan RM30,000 bagi pertuduhan pertama manakala Kamarul Hasyime tidak menawarkan ikat jamin bagi tiga lagi pertuduhan.

Muhammad Arif dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum dengan alasan tertuduh sudah digugurkan daripada tugas sebagao pelatih di kelab latihan taekwondo tersebut.

“Tertuduh yang merupakan pemegang kad pemastautin tetap atau MyKad merah ketika ini hanya bekerja sendiri dengan pendapatan kira-kira RM500 hingga RM1,000 sebulan.

“Selain itu, anak guam saya juga perlu menanggung seorang isteri dan empat anak. Jadi, tiada alasan atau risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin termasuk syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di Balai Polis Pengkalan Chepa di sini selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas jurulatih taekwondo didakwa ‘sentuh’ dua pelatih perempuan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved