sarah07/10/2026 - 14:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Jumlah pembiayaan bagi pembelian hartanah kediaman dan bukan kediaman mencecah kira-kira RM1.23 trilion pada Ogos 2026, merangkumi lebih separuh daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
Berdasarkan pengiraan BIMB Securities Research (BIMB Securities) daripada data Bank Negara Malaysia (BNM), pembiayaan kedua-dua kategori itu masing-masing berjumlah RM925.48 bilion bagi hartanah kediaman dan RM304.66 bilion bagi hartanah bukan kediaman.
Jumlah RM1.23 trilion itu bersamaan kira-kira 50.3% daripada keseluruhan pinjaman sistem perbankan sebanyak RM2.45 trilion pada Ogos.
Pembiayaan bagi pembelian hartanah kediaman meningkat 5.3% tahun ke tahun kepada RM925.48 bilion, selain berkembang 0.4% berbanding Julai.
Segmen itu kekal sebagai komponen terbesar pinjaman sistem perbankan, menyumbang 37.8% daripada keseluruhan pinjaman.
Sementara itu, pembiayaan bagi pembelian hartanah bukan kediaman meningkat 7.7% tahun ke tahun kepada RM304.66 bilion dan naik 0.4% berbanding bulan sebelumnya, menyumbang 12.5% daripada jumlah pinjaman sistem.
Secara keseluruhan, pembiayaan kepada sektor hartanah mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 11.9% tahun ke tahun kepada RM134.41 bilion pada Ogos, berbanding pertumbuhan 5.7% bagi keseluruhan pinjaman sistem perbankan kepada RM2.45 trilion.
Pembiayaan kepada sektor hartanah turut meningkat 2.4% berbanding Julai dan menyumbang kira-kira 5.5% daripada keseluruhan pinjaman sistem perbankan.
BIMB Securities berkata, pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah meningkat kepada 6.8% pada Ogos daripada 6.4% pada Julai, disokong permintaan kredit yang lebih kukuh daripada beberapa sektor termasuk hartanah.
Sektor lain yang turut menyumbang kepada pertumbuhan itu termasuk pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi; kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan; serta utiliti.
Dalam segmen isi rumah pula, pertumbuhan pembiayaan kekal pada 5.0% tahun ke tahun pada Ogos, tidak berubah daripada bulan sebelumnya.
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan pembiayaan bagi pembelian hartanah kediaman dan kereta penumpang mencatat sedikit penyederhanaan, manakala pinjaman bagi pembelian sekuriti meningkat secara sederhana.
Dari sudut kualiti aset, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bagi pembelian hartanah kediaman meningkat sedikit kepada 1.2% pada Ogos daripada 1.1% pada Julai.
Bagi pembelian hartanah bukan kediaman pula, nisbah GIL kekal pada 1.4%, tidak berubah sejak Jun dan Julai, berbanding 1.5% pada April dan Mei.
Nisbah GIL keseluruhan sistem perbankan turut kekal pada 1.4% pada Ogos, walaupun jumlah pinjaman terjejas sistem meningkat 1.2% berbanding bulan sebelumnya.
BIMB Securities Research berkata kualiti aset sistem perbankan kekal stabil, dengan nisbah GIL dan pinjaman terjejas bersih (NIL) masing-masing tidak berubah pada 1.4% dan 1.0%.
Sementara itu, pembiayaan kepada sektor pembinaan yang mempunyai kaitan rapat dengan rantaian nilai pembangunan hartanah meningkat 8.7% tahun ke tahun kepada RM104.99 bilion pada Ogos, walaupun susut kecil 0.1% secara bulanan.
Sektor pembinaan menyumbang 4.3% daripada keseluruhan pinjaman sistem perbankan, namun nisbah GILnya lebih tinggi pada 4.4%, kekal sejak Jun dan sedikit rendah berbanding 4.6% pada April.
BIMB Securities menambah, pembiayaan berkaitan hartanah terus menjadi komponen penting dalam portfolio pinjaman bank, khususnya pembiayaan hartanah kediaman yang menyumbang hampir dua perlima daripada keseluruhan pinjaman sistem.
Pertumbuhan 11.9% pembiayaan kepada sektor hartanah juga menunjukkan pengembangan yang lebih pantas berbanding pertumbuhan keseluruhan pinjaman sistem perbankan sebanyak 5.7% pada Ogos. - DagangNews.com




