
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai kanan pengurusan dijangka didakwa pada Khamis ini berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembayaran operasi bernilai kira-kira RM42 juta yang dikaitkan dengan UiTM Holdings Sdn Bhd.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Lembah Klang kira-kira jam 1 petang Isnin bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya pada 2017 dengan meluluskan pembayaran perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai kepentingan dengannya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek dijangka didakwa Khamis ini (1 Oktober),” katanya. - Getaran, 29 September 2026






