Bekas pekerja pecah masuk gudang, ditahan kurang 12 jam

1 Sep 2026 • 2:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas pekerja pecah masuk gudang, ditahan kurang 12 jam

PETALING JAYA – Seorang bekas pekerja sebuah gudang pembekal elektrik dicekup polis kurang 12 jam selepas dipercayai memecah masuk premis berkenaan di kawasan Cheras, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.58 pagi pada 25 Ogos lalu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.48 malam sehari sebelumnya apabila suspek dikesan menceroboh kawasan gudang menerusi rakaman televisyen litar tertutup.

“Suspek dipercayai mengumpil pagar di bahagian tepi bangunan sebelum memasuki gudang melalui jeriji tandas. Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah D4 Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bersama Task Force Balai Polis Bukit Jalil menyerbu sebuah pangsapuri di Persiaran Prima Utama, Puchong kira-kira pukul 11.24 malam pada 25 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan suspek utama iaitu lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an yang juga dipercayai bekas pekerja di gudang berkenaan.

Katanya, polis turut merampas sebuah kotak wang tunai berwarna biru, telefon bimbit Redmi serta sehelai baju dan topi hitam dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

Tambahnya, suspek direman bermula 26 hingga 31 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek dijangka dituduh di mahkamah hari ini atas kesalahan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas pekerja pecah masuk gudang, ditahan kurang 12 jam appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved