
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang bekerja sebagai juruteknik ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian membaling batu ke arah sebuah kenderaan di Lebuh Raya Sungai Besi-KL-Seremban, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek ditahan di Sungai Besi pada kira-kira pukul 1.15 pagi, hari ini.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2 petang, semalam, apabila suspek dipercayai membaling batu ke arah sebuah kenderaan sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan berkenaan pecah.
“Motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya (road rage), di mana suspek tidak berpuas hati dan mendakwa kenderaannya telah dihimpit oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan Mahkamah Majistret selama tiga hari bermula hari ini hingga 1 September untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki ditahan baling batu pecahkan cermin kereta appeared first on Kosmo Digital.






