Sesat 8 Jam Daki Bukit Putus, 2 Beradik Berjaya Diselamat

30 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sesat 8 Jam Daki Bukit Putus, 2 Beradik Berjaya Diselamat

SEREMBAN - Dua beradik lelaki berjaya diselamatkan selepas sesat kira-kira lapan jam ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan Bukit Putus berhampiran Kampung JKIN Extreme Park, di sini, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 55 dan 60 tahun itu menghubungi perkhidmatan kecemasan menerusi talian MERS 999 selepas tersesat.

Menurutnya, pasukan penyelamat kemudian berjaya menghubungi salah seorang mangsa menerusi aplikasi WhatsApp sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

“Pada 6.48 petang, polis berjaya menghubungi salah seorang mangsa melalui telefon dan dimaklumkan mereka berada di Checkpoint 6, Rigger Hills Trail.

“Mangsa turut berkongsi lokasi mereka menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, anggota dari Balai Polis Paroi bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi pada 6.17 petang untuk memulakan operasi SAR.

Susulan maklumat lokasi diberikan mangsa, Pasukan SAR 1 yang terdiri daripada anggota polis, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta seorang pemandu arah dari Kampung JKIN, memasuki kawasan hutan untuk mencari kedua-dua lelaki berkenaan.

“Pada 10.50 malam, Pasukan SAR 2 yang terdiri daripada anggota STORM JBPM dan seorang lagi pemandu arah dari Kampung JKIN dikerahkan bagi membantu operasi pencarian.

“Pada 12.32 tengah malam, Pasukan SAR 2 berjaya menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa tiba di Kampung JKIN kira-kira 2.15 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk mendapatkan rawatan.

Seramai 34 anggota pasukan penyelamat dan empat orang awam terlibat dalam operasi berkenaan.

Alzafny turut merakamkan penghargaan kepada JBPM, APM dan penduduk Kampung JKIN atas kerjasama dalam usaha menyelamatkan kedua-dua mangsa.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai yang melakukan aktiviti rekreasi atau pendakian supaya membuat persediaan secukupnya, memaklumkan pergerakan kepada pihak berkuasa berkaitan serta tidak mengambil mudah aspek keselamatan ketika berada di kawasan hutan. - Getaran, 30 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved