
PETALING JAYA: Seorang juruteknik berusia 30-an ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kejadian khianat membaling batu ke arah sebuah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang semalam di Lebuhraya Sungai Besi KL-Seremban sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan berkenaan pecah.
“Suspek yang bekerja sebagai juruteknik ditahan polis di tepi Jalan Suasa 3, Sungai Besi kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya selepas suspek tidak berpuas hati terhadap tindakan pengadu.
“Suspek mendakwa kenderaannya telah dihimpit oleh pengadu sebelum kejadian baling batu tersebut berlaku, menyebabkan cermin belakang kenderaan pengadu pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan oleh Mahkamah Majistret selama tiga hari bermula hari ini (30 Ogos) hingga 1 September, bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan terhadap kenderaan pengadu.
“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN
The post Juruteknik ditahan kes baling batu di lebuh raya appeared first on Utusan Malaysia.






