Bekas pemain hoki Selangor cedera ditolak bekas calon PRU15

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 4:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bekas pemain hoki Selangor cedera ditolak bekas calon PRU15

PETALING JAYA: Seorang bekas pemain hoki Selangor mengalami kecederaan selepas ditolak bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Hujan Rahmat Dua, Jalan Klang Lama pada 18 September lalu.

Wanita berusia 79 tahun itu mengalami kecederaan selepas terjatuh ke dalam longkang selepas ditolak individu berusia 59 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, tangan kiri serta belakang badan akibat terjatuh ke dalam longkang.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan dan ditahan di wad kecemasan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang pada 21 September lalu.

“Menurut maklumat siasatan awal, mangsa dikatakan datang ke sebuah kedai dan memaklumkan kepada pengadu bahawa dia telah diekori suspek.

“Mangsa kemudian keluar dari kedai berkenaan sebelum suspek yang berada di luar premis didakwa secara tiba-tiba menolaknya sehingga terjatuh ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, katanya, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di lokasi berhampiran pada hari sama. 

Katanya, polis turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pengadu yang didakwa memaparkan suspek berada di luar kedai sebelum bertindak menolak mangsa.

“Kita turut merampas sehelai baju biru berjenama Nike dan sehelai seluar panjang berwarna kelabu yang mempunyai logo Kuda, dipercayai pakaian yang digunakan ketika kejadian.

“Bagaimanapun, suspek tidak mengaku menolak mangsa selain tiada masalah kesihatan atau gangguan mental,” jelasnya.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Bekas pemain hoki Selangor cedera ditolak bekas calon PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved