
Kota Kinabalu: Peruntukan tambahan dalam bajet Sabah dilihat sebagai bukti keupayaan kerajaan negeri dalam mengurus kewangan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid Datuk Jonnybone Kurum bagaimanapun menggesa kerajaan negeri supaya memastikan peruntukan itu dibelanjakan mengikut keperluan kritikal setiap daerah, khususnya luar bandar.
Bercakap pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Isnin, katanya, bajet tambahan itu sepatutnya merangkumi semua aspek yang telah diketengahkan dalam permohonan setiap daerah termasuk Telupid.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Setiap kali bajet dibentangkan, saya akan bangkitkan isu menaik taraf Jabatan Air bagi memastikan bekalan air bersih untuk rakyat kita.
“Telupid memerlukan penaiktarafan kemudahan rawatan air dan saluran paip kerana di beberapa kawasan seperti Mukim Nango, keseluruhan kampung masih tidak mempunyai akses asas kepada air terawat,” katanya.
Jonnybone mencadangkan agar sebuah loji rawatan air mini diwujudkan untuk menampung lima kampung terjejas termasuk Kampung Sinaputan dan Kampung Nango.
Jonnybone turut membangkitkan isu lain berkaitan keadaan Pejabat Tanah Telupid yang kini berkongsi ruang dengan Pejabat Daerah.
Beliau menyatakan kebimbangan serius mengenai keselamatan geran tanah dan dokumen sah yang kini disimpan di fasiliti sementara di luar bangunan utama.
Beliau juga memohon agar tindakan segera diambil terhadap masalah hakisan tebing sungai akibat banjir yang sebelum ini menyebabkan beberapa rumah runtuh.
“Lebih banyak rumah berada dalam bahaya apabila tebing sungai semakin menghampiri kawasan perumahan. Beberapa rumah sudah runtuh dan yang lain berada dalam risiko serius. Kami khuatir akan berlaku bencana jika tiada tindakan segera diambil,” katanya.
Jonnybone juga berharap peruntukan diberikan untuk membaiki infrastruktur yang rosak seperti pembetung, jambatan gantung, tembok penahan di belakang masjid dan gereja yang telah tertangguh selama dua tahun.
Katanya, masjid dan gereja terbabit kini berisiko runtuh manakala jambatan yang rosak menyukarkan penduduk kampung menjalankan aktiviti seperti menoreh getah.
Penduduk kampung terpaksa meredah sungai untuk ke kebun mereka akibat jambatan rosak dan keadaan ini menjadi semakin berbahaya apabila musim hujan tiba.

