sarah14/10/2026 - 10:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Aspirasi Malaysia untuk menjadi hab kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital terkemuka di rantau ini perlu disokong infrastruktur digital yang mampan, cekap tenaga dan berprestasi tinggi bagi memastikan pelaburan teknologi menjana nilai ekonomi jangka panjang.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pembangunan AI menerusi Sovereign AI Cloud, peluasan program penggunaan AI, pembiayaan penyelidikan dan pengkomersialan serta pelaburan domestik bernilai tinggi.
“Fasa pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya bukan sekadar bergantung kepada usaha menarik pelaburan, malah memerlukan pembangunan keupayaan dan infrastruktur yang mampu menterjemahkan pelaburan itu kepada nilai ekonomi yang berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, peningkatan penggunaan AI, pengkomputeran awan dan teknologi intensif data meningkatkan keperluan terhadap infrastruktur digital yang selamat dan berprestasi tinggi, termasuk pusat data saling berhubung yang membolehkan perniagaan mengembangkan operasi serta menggunakan teknologi canggih dengan lebih cekap.
Tat Inn berkata, pengembangan infrastruktur digital juga perlu mengambil kira kecekapan tenaga, pengurusan sumber air dan kesiapsiagaan utiliti. Pelaburan RM15 bilion untuk memperkukuh grid elektrik negara serta pelanjutan insentif cukai teknologi hijau sehingga 2030 menunjukkan kepentingan menyelaraskan pertumbuhan digital dengan matlamat kelestarian.
“Pengembangan pusat data perlu berpandukan permintaan sebenar, dirancang secara bertanggungjawab serta disokong kerjasama erat antara pemain industri, penyedia utiliti dan pembuat dasar supaya pertumbuhan digital Malaysia kekal berdaya saing dan mampan,” katanya.

Mengulas pelaburan syarikat itu, beliau berkata, pusat data KL2 yang dirancang di Cyberjaya akan menyokong pertumbuhan ekosistem AI, pengkomputeran awan dan digital perusahaan Malaysia. Kemudahan itu direka untuk memenuhi keperluan pengkomputeran berketumpatan tinggi, termasuk melalui penggunaan teknologi penyejukan cecair termaju.
Beliau berkata, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kesalinghubungan serantau, khususnya bagi perniagaan yang mahu mengembangkan operasi merentasi ASEAN.
“Dengan kehadiran kami di Kuala Lumpur dan Johor serta ekosistem yang saling berhubung dengan Singapura, kami melihat peluang untuk menyokong perniagaan mengembangkan operasi di seluruh ASEAN dan membina operasi digital yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Equinix ialah syarikat infrastruktur digital global yang mengendalikan rangkaian pusat data dan menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan kepada perusahaan, penyedia rangkaian serta platform pengkomputeran awan. Di Malaysia, syarikat itu mengendalikan pusat data KL1 di Cyberjaya dan JH1 di Johor, selain merancang pembangunan KL2 bagi memenuhi permintaan terhadap infrastruktur digital berprestasi tinggi.
Tat Inn berkata, Equinix komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan rakan industri bagi membangunkan infrastruktur digital yang berdaya tahan, mampan dan terhubung secara global, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi serta rakyat.- DagangNews.com




