
TAHUN ini, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 9 Oktober ini.
Sudah tentu bagi sektor sukan, harapan yang diletakkan pada Belanjawan kali ini sangat tinggi agar peruntukan untuk pembangunan sukan negara bukan sekadar dikekalkan, sebaliknya diperkasa dan ditingkatkan.
Lebih RM580 juta telah disalurkan menerusi Belanjawan 2026 yang memberi gambaran jelas bahawa kerajaan melihat sukan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
Namun, cabarannya semakin besar memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada tahun depan.
Selain itu, misi melahirkan atlet yang mampu mencipta sejarah di Sukan Olimpik 2028 terus digerakkan menerusi program Road to Gold dalam memburu kilauan pingat emas pertama di pentas sukan terbesar dunia itu.
Persoalannya sekarang, cukupkah dengan segala dana yang diberikan oleh pihak kerajaan ketika ini?
Secara keseluruhannya, arena sukan negara mengharungi fasa yang positif apabila dua temasya yang disertai pada tahun ini, Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.
Kontinjen negara berjaya meraih lapan pingat emas di Sukan Komanwel dan mencapai sasaran enam pingat emas di Sukan Asia (setakat semalam) sekali gus memberi gambaran masa depan sukan negara masih cerah.
Justeru, Belanjawan 2027 wajar dijadikan platform untuk membuktikan bahawa Malaysia serius membina kuasa sukan yang mampu bersaing dan menghasilkan kejayaan secara konsisten di pentas antarabangsa.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli meletakkan harapan agar pihak kerajaan tidak lagi menggunakan templat sama sebaliknya memberi tumpuan perkasakan lagi bajet yang diberikan nanti.
“Pada saya, bajet untuk sukan pada Belanjawan ini seperti templat yang kita sudah jangka berapa jumlah yang mungkin diberi.
“Namun, pada Belanjawan 2027, saya harap pihak kerajaan dapat keluar daripada amalan biasa dengan memberikan lebih banyak bantuan kewangan khususnya buat persatuan sukan di peringkat negeri.
“Kita tidak boleh lagi berikan dana secara ad hoc sebaliknya fokus untuk pelan jangka panjang.
“Kalau pencapaian sukan pada tahun itu meningkat, kita tambah lagi (pada Belanjawan seterusnya). Kita bagi peruntukan yang lebih supaya mereka boleh buat perancangan, gilap lagi bakat dan bagi pendedahan yang cukup di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan turut berharap kerajaan dapat lebih memberi banyak bantuan pada badan sukan pada Belanjawan tahun depan.
“Bukan sahaja dalam bola sepak atau FAM, saya percaya badan-badan sukan lain juga mahukan bantuan. Bukan kerajaan tidak bantu (sebelum ini) tapi sekurangnya perlu dijadikan bantuan tetap,” katanya.
The post Belanjawan 2027: Beri bajet lebih besar, ruang gilap bakat appeared first on Kosmo Online.






