Measat mahu Belanjawan 2027 utamakan teknologi angkasa perkukuh kawalan data kritikal Malaysia

LocalSpace
23 Sep 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Measat mahu Belanjawan 2027 utamakan teknologi angkasa perkukuh kawalan data kritikal Malaysia Image from: Measat mahu Belanjawan 2027 utamakan teknologi angkasa perkukuh kawalan data kritikal Malaysia amree23/09/2026 - 12:30 Lakaran satelit Measat 3D - Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 SeptMeasat Satellite Systems menyarankan kerajaan mengutamakan pelaburan dalam teknologi angkasa berdaulat menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan infrastruktur kritikal dan data negara kekal di bawah kawalan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Operasinya, Yau Chyong Lim berkata, pelaburan itu penting bagi meningkatkan daya tahan negara, daya saing ekonomi serta kemandirian strategik ketika teknologi angkasa semakin memainkan peranan penting dalam komunikasi dan pengurusan data kritikal.

 

Menurut beliau, sektor angkasa Malaysia sudah menjana hasil RM6.2 bilion sepanjang 2017 hingga 2024 dan disasarkan mampu mencecah lebih daripada RM10 bilion lagi menjelang 2030.

 

"Fasa pelaksanaan Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030) bagi tempoh 2027 hingga 2030 menjadikan Belanjawan 2027 penting untuk menterjemahkan aspirasi sektor itu kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan daya tahan negara," jelasnya.

 

Justeru, Measat mengemukakan lima keutamaan kepada kerajaan, antaranya pengiktirafan aset dan keupayaan angkasa di bawah kawalan Malaysia sebagai keutamaan pelaburan serta mengambil kira aspek kedaulatan dalam perolehan bagi komunikasi kritikal dan aplikasi keselamatan.

 

Kumpulan itu turut menggesa sokongan terhadap pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur industri angkasa, termasuk rangka kerja yang mengambil kira tempoh pembangunan yang panjang serta kerjasama awam-swasta bagi platform pelbagai orbit dan sistem data ditadbir urus secara nasional.

 

Measat_DagangNews2026

 

Bagi memperluas penggunaan teknologi angkasa ujar beliau, syarikat itu mencadangkan integrasi Orbit Bumi Geopegun (GEO), Orbit Rendah Bumi (LEO) dan rangkaian terestrial bagi memenuhi keperluan operasi yang berbeza.

 

"Aplikasi seperti Pemerhatian Bumi, Internet Benda (IoT) satelit, kecerdasan buatan (AI) dan analitik boleh diperluas untuk pengurusan bencana, pemantauan maritim, pertanian tepat, penjagaan kesihatan luar bandar serta pembangunan prasarana pintar," kata Chyong Lim.

 

Measat juga mahu pengkomersialan teknologi angkasa oleh syarikat tempatan diperkukuh menerusi sokongan terhadap pembangunan, pengujian dan penggunaan penyelesaian tempatan, selain kerjasama antara industri, syarikat pemula niaga, universiti serta institusi penyelidikan.

 

Pada masa sama, syarikat itu menggesa kerajaan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat tempatan dalam bidang kejuruteraan, telekomunikasi, analisis data, penderiaan jauh, AI dan kawal selia angkasa, termasuk pemindahan teknologi serta pekerjaan bernilai tinggi.

 

Tambahnya, Malaysia kini mempunyai asas yang merangkumi hak orbit berdaulat, sumber spektrum negara, satelit dan infrastruktur darat, kepakaran kejuruteraan serta keupayaan kawal selia yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong MSE2030 dan Dasar Angkasa Negara 2030.

 

"Tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-30 pelancaran Measat-1 dan Measat-2, dengan kami menegaskan komitmen terus menyokong rantaian nilai teknologi angkasa Malaysia meliputi pembangunan bakat, R&D, reka bentuk, pembuatan, pelancaran, operasi, perkhidmatan sokongan dan pengkomersialan," jelasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved