
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Kementerian Kewangan (MoF) kira-kira pukul 2.55 petang menuju ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2027.
Berbaju Melayu rona biru cerah lengkap bersamping dan bersongkok, Anwar dilihat ceria sambil memegang sebuah beg berwarna hitam bercorak kraf yang mengandungi teks ucapan belanjawan.
Anwar dijangka membentangkan belanjawan itu tepat pada pukul 3.30 petang ini.
Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyertai bacaan doa yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam (Pengukuhan) Unit Integriti MoF, Muhamad Fierdauss Rosli di lobi utama bangunan.
Ketika ditanya mengenai antara inti pati Belanjawan Madani kelima itu, beliau hanya tersenyum sambil menunjukkan tanda isyarat bagus.
“InsyaAllah, doakan,” katanya ringkas kepada pemberita.
Anwar diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut memakai pakaian rona sedondon berwarna biru cerah.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican serta pegawai- pegawai kanan kementerian.
Dengan tema ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027: InsyaAllah, doa – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.




