Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM22.11 bilion menerusi Belanjawan 2027, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.66 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan berkenaan merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang bertujuan memastikan kelancaran operasi, penyelenggaraan aset serta memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan bahawa sebanyak RM22.1 bilion diperuntukkan kepada MINDEF.
“Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan 22.1 bilion ringgit,” katanya.
Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik pembentangan belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” oleh Anwar yang juga merangkap Menteri Kewangan itu di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, belanjawan berkenaan mencerminkan semangat Waad Nasional yang menekankan ikatan amanah dan tanggungjawab antara kerajaan dengan rakyat, berteraskan lapan lunas utama demi menjamin kesejahteraan masyarakat serta masa depan negara.
Selain memperkukuh aset pertahanan, aspek kebajikan anggota tentera dan keluarga turut diberikan perhatian menerusi peruntukan RM957.30 juta bagi penyediaan kemudahan perumahan ATM.
Mengulas mengenai peruntukan itu, Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan sektor pertahanan negara.
“Kementerian komited memastikan setiap peruntukan diurus secara telus, berhemah dan berkesan demi memperkukuh kesiapsiagaan ATM serta memelihara kebajikan anggota, keluarga dan veteran,” katanya.
Dalam usaha menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerajaan turut menyediakan peruntukan pengurusan sebanyak RM304 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi menyokong pengurusan hal ehwal dan keperluan golongan yang pernah berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara.
Selain itu, kerajaan mengumumkan peningkatan kadar pencen terendah daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, iaitu pertambahan sebanyak RM350.
Langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada hampir 59,000 penerima secara keseluruhan, termasuk pesara ATM dan penerima pencen terbitan.
Penambahbaikan berkenaan merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan pesara serta mencerminkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota tentera yang telah menabur bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
RM14.52 bilion untuk belanja mengurus, RM7.58 bilion bagi pembangunan
Jumlah sebenar peruntukan yang diluluskan kepada MINDEF adalah sebanyak RM22,108,217,000, melibatkan dua komponen utama iaitu Belanja Mengurus (OE) dan Belanja Pembangunan (DE).
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM14,523,000,000 atau 65.69 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus bagi memastikan keperluan pentadbiran dan operasi kementerian dapat dilaksanakan secara berterusan.

Peruntukan ini meliputi pembayaran gaji dan elaun kepada anggota serta kakitangan, selain menampung kos utiliti, senggaraan dan alat ganti.
Sementara itu, sebanyak RM7,585,217,000 atau 34.31 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Dana pembangunan tersebut merangkumi projek pembinaan, perolehan kelengkapan, penyelidikan serta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) turut disenaraikan sebagai salah satu komponen di bawah perbelanjaan pembangunan MINDEF bagi tahun 2027.
Peruntukan meningkat berbanding 2026
Peningkatan peruntukan MINDEF bagi 2027 turut memperlihatkan pertambahan jumlah dana yang diluluskan berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhannya, peningkatan sebanyak 1.66 peratus dalam peruntukan MINDEF bagi Belanjawan 2027 mencerminkan kesinambungan pembiayaan kerajaan terhadap keperluan operasi, pembangunan infrastruktur, penyelenggaraan aset dan kesiapsiagaan pertahanan negara.
Pada masa sama, pengagihan dana antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan memperlihatkan usaha mengimbangi keperluan operasi harian dengan pelaburan jangka panjang dalam sektor pertahanan.
The post Belanjawan 2027: Kedaulatan Negara Diutamakan, MINDEF Terima RM22.11 Bilion appeared first on Borak Daily.






