sarah09/10/2026 - 17:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt -- Kerajaan meningkatkan jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion sebelum ini bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju menambah RM5 bilion lagi kepada kemudahan pembiayaan PKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, menjadikan jumlah pembiayaan tersedia RM10 bilion.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Selain itu, Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memperuntukkan RM7 bilion menerusi tujuh sektor strategik bagi menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi dan sektor teras pembangunan negara, termasuk tenaga boleh baharu, logistik, aeroangkasa dan semikonduktor.
Bagi 2027, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion.
Anwar berkata, liputan SJPP akan diperluas kepada syarikat pertengahan dalam semua sektor, dengan had jaminan dinaikkan sehingga RM50 juta.
Daripada jumlah itu, jaminan SJPP sebanyak RM1 bilion akan dikhususkan bagi menyokong pengembangan syarikat tempatan menerusi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).- DagangNews.com






