KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berharap pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini membawa khabar baik kepada rakyat Cik Siti Wan Kembang, khususnya menerusi cadangan menyambung semula jajaran Lebuh raya Pantai Timur (LPT) dari Gemuruh hingga ke negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembinaan laluan berkenaan penting bagi menyediakan pilihan jalan alternatif kepada rakyat Kelantan selain laluan sedia ada melalui Gua Musang.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian kepada beberapa projek besar yang melibatkan kepentingan rakyat termasuk usaha menangani masalah banjir.
"Sebagaimana sebelum-sebelum ini, kita harapkan beberapa projek besar untuk negeri Kelantan yang melibatkan kepentingan rakyat dan juga masalah-masalah semasa.
"Contohnya soal tebatan banjir dan lain-lain," katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri turut mengharapkan permohonan berkaitan penyambungan LPT dari Gemuruh ke Kelantan dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Jelasnya, kemudahan lebuh raya berkenaan bukan sahaja dapat menyediakan laluan alternatif, malah memberi peluang kepada rakyat Kelantan menikmati kemudahan perhubungan seperti yang dinikmati negeri-negeri lain.
"Kita minta jugalah beberapa permohonan Kerajaan Negeri termasuklah Lebuhraya Pantai Timur, LPT itu yang daripada Gemuruh diteruskan ke Kelantan.
"Berilah pilihan juga kepada rakyat negeri Kelantan untuk mempunyai jalan alternatif di samping Gua Musang yang ada sekarang ini.
"Sekurang-kurangnya rakyat negeri Kelantan dapat manfaat sebagaimana negeri-negeri yang lain," katanya.
Ujar beliau, kerajaan Kelantan berharap perkara berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pembentangan Belanjawan 2027.






