Belanjawan 2027: Lebih 9,000 Doktor Kontrak Bakal Diserap Ke Jawatan Tetap

LocalHealth & Fitness
9 Oct 2026 • 5:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Belanjawan 2027: Lebih 9,000 Doktor Kontrak Bakal Diserap Ke Jawatan Tetap

KUALA LUMPUR - Lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027, manakala graduan perubatan yang berjaya menamatkan latihan siswazah (housemanship) akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.

Pengumuman itu merupakan langkah penting kerajaan dalam menangani isu pelantikan doktor secara kontrak yang berlarutan dalam sistem kesihatan awam negara.

Sejak 2023, lebih 15,000 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap, termasuk 4,000 pada tahun ini.

Dalam usaha menghargai sumbangan kira-kira 47,000 penolong pegawai perubatan dan jururawat, kadar insentif pos-basik bulanan akan dinaikkan sekali ganda daripada RM100 kepada RM200.

Kerajaan turut bersetuju menaikkan insentif perkhidmatan kesihatan udara daripada RM30 kepada RM100 susulan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, yang mengorbankan petugas barisan hadapan.

Bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit, peruntukan bagi program pemindahan pesakit ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan akan ditingkatkan kepada RM200 juta.

Program itu akan diperluas dengan melibatkan fasiliti kesihatan swasta, termasuk penggunaan dewan bedah swasta oleh sektor awam.

Selain itu, aturan perkhidmatan secara sesi yang lebih fleksibel akan diperkenalkan bagi membolehkan pakar kerajaan yang bersara serta pakar sektor swasta turut memberikan perkhidmatan.

Skop program berkenaan juga akan diperluas merangkumi saringan bayi baru lahir yang lebih menyeluruh, ujian genetik pranatal serta perkhidmatan rehabilitasi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara, dengan pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Mulai Januari 2027, kerajaan akan memperkenalkan pelan perubatan mampu milik MediAsas, yang menetapkan caj hospital berdasarkan kategori diagnosis dan rawatan bagi membolehkan kos perubatan dirancang dengan lebih baik serta dikawal.

Ketelusan caj rawatan di sektor kesihatan swasta juga akan dipertingkatkan.

Mulai 2027, bil hospital swasta akan menggunakan kategori caj yang diseragamkan, manakala sistem rekod perubatan elektronik akan diperluas berlandaskan prinsip satu individu, satu rekod.

Portal e-CKAPS pula membolehkan urusan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian mulai 2027, dengan tempoh pemprosesan disasarkan berkurangan sehingga 65 peratus.

Bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan, peruntukan Tabung Bantuan Perubatan akan dinaikkan kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini.

Program PeKa B40 yang diperuntukkan RM80 juta pula akan menyediakan saringan kesihatan percuma, bantuan peralatan perubatan serta insentif rawatan kanser kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Skim perlindungan kesihatan mySalam turut diteruskan pada 2027. Sejak diperkenalkan, skim itu telah memanfaatkan 1.6 juta penerima dengan jumlah tuntutan mencecah RM1.3 bilion.

Sementara itu, program BuAi akan menyediakan rawatan kesuburan pada kos berpatutan kepada 2,000 pasangan, selain perkhidmatan kesejahteraan lelaki kepada 42,000 individu.

Saringan talasemia secara percuma juga akan diperluas kepada pasangan dan anak-anak pembawa penyakit itu bagi mengurangkan risiko kelahiran bayi yang menghidap talasemia major.

Kerajaan turut merancang pembinaan sembilan fasiliti kesihatan baharu, termasuk klinik pakar dan kompleks rawatan harian di Hospital Sultanah Aminah, Johor; pusat pakar pergigian di Kuching; kompleks kesihatan bersepadu di Gerik, Perak; serta sebuah lagi kompleks seumpamanya di Rembau, Negeri Sembilan.

Sebanyak RM1.2 bilion akan diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan hospital serta klinik kerajaan, termasuk menaik taraf klinik daif yang masih belum dibaik pulih.

Selain itu, lebih RM770 juta disediakan untuk perolehan peralatan perubatan berteknologi tinggi bagi mempercepat proses diagnosis dan rawatan pesakit.

Peruntukan tersebut merangkumi penaiktarafan kemudahan hemodialisis di hospital seluruh negara serta pembelian 400 ambulans baharu untuk hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan.

Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) pula akan menerima teknologi pembedahan robotik bagi memperluas akses pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung kepada rawatan berkenaan.

Dalam pada itu, sebanyak 18 institut latihan KKM akan dilengkapi peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas bagi meningkatkan kemahiran lebih 20,000 pelatih serta petugas perubatan dan kesihatan bersekutu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan perkara itu, berkata kerajaan bersetuju menaikkan bayaran insentif perkhidmatan kesihatan udara daripada RM30 kepada RM100.

“Kita amat berdukacita dengan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang mengorbankan petugas barisan hadapan,” katanya.

Pada September lalu, lima individu terkorban selepas helikopter BO-105 yang dinaiki mereka terhempas di Long Lellang, Miri.

Mangsa terdiri daripada juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, serta empat petugas KKM, iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; Alexson Adit Henry, 31; Debra Moset, 40; dan Jessie Paya Jok, 44.

Anwar berkata, sebagai menghargai jasa kira-kira 47,000 penolong pegawai perubatan dan jururawat yang memikul tanggungjawab besar di lapangan, kadar bayaran insentif pos-basik akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan. - Getaran, 9 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved