KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah juga akan ditawarkan ke jawatan tetap pegawai perubatan selepas ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, peruntukan Kementerian kesihatan (KKM) juga meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini.
"Bagi menghargai 47,000 anggota paramedik dan jururawat yang memikul tanggungjawab besar di lapangan, kadar bayaran insentif Pos Basik akan ditingkatkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengurangan tempoh menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan juga turut diberi perhatian.
Ujarnya, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuk memperluaskan skop kerjasama merangkumi penggunaan fasiliti kesihatan swasta serta dewan bedah oleh sektor awam.
"Selain itu, kerajaan juga akan membuat aturan 'sessional' atau perkhidmatan pakar untuk berkhidmat mengikut sesi atau tempoh tertentu membabitkan pakar kerajaan yang bersara mahupun pakar swasta yang lebih anjal dengan tempoh maksimum ditingkatkan," katanya.




