
KUALA LUMPUR: Pelantikan lebih 9,000 doktor kontrak kepada jawatan tetap bermula tahun depan akan dilaksanakan mengikut kohort dan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelantikan yang dibuat sepanjang 2027 itu sekali gus menamatkan perkhidmatan doktor kontrak di negara ini akan dibuat seberapa segera.
“Proses itu akan sedikit mengambil masa, perlu memenuhi syaratnya dan mengambil kira kohortnya.
“Apa pun, kita akan laksanakan dengan cara yang mungkin agak sedikit inovatif dalam perkara ini untuk ditangani dalam waktu seberapa segera.
“Pada 2027, kita noktahkan (perkhidmatan doktor kontrak),” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap bermula tahun depan sebagai langkah kerajaan menoktahkan isu doktor kontrak yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Berikutan itu, semua doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap secara automatik sebagai pegawai perubatan.
Sehingga kini, kerajaan MADANI sudah melantik lebih 15,000 doktor kontrak ke jawatan tetap, termasuk 4,000 orang pada tahun ini.
Ditanya sama ada lantikan ke jawatan itu mampu menyelesaikan masalah kekurangan doktor di fasiliti kerajaan, Dr Dzulkefly percaya langkah positif kerajaan itu akan mampu menangani masalah secara menyeluruh.
“Selama ini, pendekatan itu sangat terpisah-pisah, dari pembekalan, kepakaran dan sebagainya tapi hari ini, kami cerakinkan untuk menjadikan ia bersepadu, lancar dan tidak terpisah-pisah seperti dahulu,” katanya.
Mengenai kenaikan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara (FDS) daripada RM30 kepada RM100, Dr Dzulkefly, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat meningkatkan lagi Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).
“Elaun itu hanya satu aspek sahaja. Kita mahu tingkatkan UHC, tuntutan jangan tinggalkan sesiapa pun di belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan perhargaan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan atas kenaikan peruntukan bagi KKM dalam Belanjawan 2027, iaitu sebanyak RM47.7 bilion, berbanding RM46.5 bilion pada tahun lalu.
The post Pelantikan lebih 9,000 doktor kontrak kepada jawatan tetap dilaksanakan mengikut kohort – Dzulkefly appeared first on Utusan Malaysia.





