Ketiadaan perancangan untuk meneruskan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) serta peruntukan lebih besar bagi menangani kesan perubahan iklim antara perkara yang dibangkitkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung Belanjawan 2027.
Menurut laporan Sinar Harian, beliau berkata, kerajaan sepatutnya memperincikan perancangan menyambung LPT yang ketika ini hanya sampai ke Terengganu, lebih-lebih lagi projek itu pernah dijanjikan sebelum ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian kerana ia antara isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Isu ini selalu dibangkitkan, tetapi perancangan kerajaan untuk menyambung LPT langsung tidak disentuh.
“Jadi, saya rasa belanjawan mesti menjangkau isu-isu besar yang dihadapi rakyat.
“LPT sekarang sampai ke Terengganu. Bila nak sambung, walaupun dijanji nak sambung?,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Foto arkib: Facebook
Dalam pada itu, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air tersebut berpandangan aspek keseimbangan pembangunan antara wilayah masih belum ditonjolkan dengan jelas dalam belanjawan kali ini yang menurutnya lebih memberi tumpuan kepada segmen tertentu.
Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya memberikan perhatian lebih serius terhadap perubahan iklim yang bakal menjadi antara cabaran utama negara pada masa hadapan.
Ujarnya, pelaksanaan projek tebatan banjir juga perlu dinilai semula bagi memastikan tahap perlindungan yang disediakan bersesuaian dengan peningkatan risiko banjir ketika ini.
Tuan Ibrahim menjelaskan, reka bentuk tebatan banjir sedia ada yang berasaskan tempoh ulang kala 50 tahun atau Average Recurrence Interval (ARI) dilihat tidak lagi memadai apabila kejadian banjir melepasi had berkenaan.
“Sekarang ini, tebatan banjir kita berdasarkan tempoh ulang kala 50 tahun (ARI), tetapi banjir sudah melebihi had 50 tahun.
“Maknanya, peruntukan untuk tebatan banjir mesti sekali ganda daripada sebelum ini. Kalau tidak, kita buat tetapi akhirnya gagal,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian (Diana Azis)






