KUANTAN – Golongan peniaga kecil berharap agar pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini membawa khabar baik menerusi langkah mengurangkan kos operasi, selain memudahkan akses kepada geran dan bantuan kerajaan.
Peniaga ayam, Azizah Omar, 38, berkata, kos pembelian ayam, elektrik dan gas antara perkara yang perlu diberi perhatian bagi membantu peniaga meneruskan perniagaan.
“Harapan saya untuk bajet akan datang, kami peniaga ayam berharap kos pembelian ayam dapat dikurangkan berbanding tahun ini.
“Agak mencabar kerana sejak pertengahan tahun hingga sekarang harga tidak banyak berubah, selain itu, dari segi kos elektrik dan gas juga kami harap ada perubahan sedikit,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan, di sini pada Rabu.
Azizah turut meminta supaya proses permohonan geran bantuan kerajaan dipermudahkan bagi membantu peniaga kecil mendapatkan bantuan diperlukan.
"Kalau boleh, untuk kami sebagai peniaga, permohonan sebarang geran bantuan dipermudahkan sedikit oleh kerajaan agar tidak ada sebarang kesulitan sangat untuk kami memohon geran tersebut,” ujarnya lagi.
**media[3670457]**
K Balakrishnan, 78, juga mahu kerajaan turut melihat realiti kehidupan golongan yang bergantung kepada pendapatan harian ketika merangka bantuan menerusi Belanjawan 2027.
Jelasnya, pendapatan diperoleh setiap hari perlu digunakan untuk menampung pelbagai kos termasuk minyak motosikal bagi mendapatkan dan membawa barangan jualan.
“Saya berniaga sehari dapat RM40 hingga RM50 dan kira-kira RM10 perlu digunakan untuk minyak motosikal.
“Saya perlu pergi jauh untuk mengambil barang sebelum membawanya pulang untuk disusun dan dijual dan ada kalanya saya hanya dapat RM15 hingga RM20.. mana cukup,” katanya.
Warga emas itu berkata, kerajaan perlu turun padang untuk memahami sendiri keadaan rakyat dan tidak hanya membuat penilaian berdasarkan kategori tertentu.
“Mereka mesti turun ke bawah dan periksa bersama rakyat, temu bual mereka, tanya mereka,” katanya.
Balakrishnan juga berharap jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat ditingkatkan supaya lebih mencukupi untuk menampung keperluan penerima.
**media[3670459]**
Sementara itu, Wan Samsudin Ahmad, 73, berharap kerajaan menyediakan peruntukan tambahan bagi membantu merancakkan semula aktiviti perniagaan di pasar.
“Dulu pasar ini ramai orang, jadi kita minta kerajaan tambah peruntukan sikit ataupun apa-apa yang lain supaya rakyat dapat kemudahan sikit.
“Barangan pun biarlah murah sikit, jangan mahal sangat,” ujarnya.






