Belanjawan 2027: Perbelanjaan keseluruhan naik kepada RM510 bilion, defisit fiskal turun 3.3%

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Perbelanjaan keseluruhan naik kepada RM510 bilion, defisit fiskal turun 3.3% Image from: Belanjawan 2027: Perbelanjaan keseluruhan naik kepada RM510 bilion, defisit fiskal turun 3.3% sarah09/10/2026 - 17:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt -- Perbelanjaan keseluruhan negara di bawah Belanjawan MADANI 2027 meningkat kepada RM510 bilion berbanding RM470 bilion tahun ini, manakala defisit fiskal dijangka menyusut kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan MADANI Kelima meneruskan dasar fiskal mengembang dengan menggerakkan keseluruhan kekuatan negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.

 

Daripada jumlah RM510 bilion itu, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus Persekutuan, manakala RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan Persekutuan.

 

Baki perbelanjaan merangkumi pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM25 bilion, pelaburan awam-swasta RM11 bilion serta RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

 

Anwar berkata, hasil Persekutuan bagi 2026 diunjurkan meningkat kepada RM363.6 bilion berbanding anggaran asal RM343.1 bilion, sebelum meningkat lagi kepada RM380.8 bilion pada 2027.

 

Bagaimanapun, krisis Asia Barat meningkatkan subsidi bahan api kepada RM40 bilion, menyebabkan defisit fiskal 2026 kini diunjurkan pada 3.6% berbanding sasaran asal 3.5%.

 

Beliau berkata, kadar itu masih menunjukkan trend penurunan daripada 5.5% pada 2022 dan 3.7% pada 2025, dengan kerajaan menyasarkan defisit fiskal terus menyusut kepada 3.3% pada 2027 sebelum mencapai 3% menjelang 2028.

 

Sementara itu, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK dijangka menurun secara berperingkat daripada 65.2% pada 2025 kepada 64% pada 2026 dan 63.7% pada 2027, susulan pengurangan defisit serta kawalan terhadap hutang baharu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved