KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menyambut baik peruntukan Belanjawan 2027 yang menyentuh pembangunan negeri itu, namun berharap cadangan penyambungan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) dari Terengganu ke negeri ini turut diberikan perhatian bagi memastikan pembangunan lebih seimbang antara wilayah.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perancangan Projek Empangan Lebir antara akan menjadi penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir dan bekalan air bersih di negeri ini.
Menurut beliau, inisiatif itu turut melengkapi usaha mitigasi banjir dan pengukuhan bekalan air menerusi penyiapan fasa kedua Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok serta pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai dan Loji Rawatan Air di Machang yang kini berada pada peringkat reka bentuk.
"Usaha ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan giat kerja-kerja penggantian paip air usang," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pengoperasian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu pada Disember ini bakal melengkapkan jaringan pengangkutan negeri, selain perancangan menyambungkan landasan berkenaan ke Rantau Panjang.
Ujarnya, pengumuman pembinaan sebuah stesen bas bersepadu dengan Stesen ECRL Kota Bharu juga dilihat dapat memperkukuh kemudahan pengangkutan awam di Kelantan.
Bagaimanapun, Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan berharap cadangan penyambungan LPT dari Terengganu ke negeri ini turut diberi perhatian supaya kemudahan infrastruktur dan pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara lebih seimbang.
Tanbah beliau, selain infrastruktur pengangkutan, kerajaan negeri turut menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan melengkapkan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian dengan teknologi pembedahan robotik.
Sementara itu, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, Projek Empangan Lebir, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Machang dan penggantian paip uzur antara pembangunan yang disifatkan berpotensi mengubah landskap kehidupan rakyat Kelantan menerusi Belanjawan 2027.
Ujar beliau, perancangan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi harapan baharu kepada rakyat negeri ini yang sekian lama berdepan isu bekalan air bersih dan banjir.
Menurut beliau, projek berkenaan bersama pembangunan stesen bas di Stesen ECRL Kota Bharu serta penambahbaikan jaringan pengangkutan awam berupaya menangani keperluan asas rakyat, selain merancakkan pembangunan negeri.
"Alhamdulillah, Belanjawan 2027 membawa berita yang cukup menggembirakan buat rakyat Kelantan.
"Saya melihat keseluruhan projek yang diumumkan sebagai game changer yang berpotensi mengubah landskap pembangunan dan kehidupan rakyat Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama itu, pembangunan yang dirancang itu bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur fizikal, sebaliknya perlu memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup rakyat, membuka peluang ekonomi dan membawa perubahan yang sekian lama dinantikan.
"Harapan kita, segala perancangan ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan agar rakyat Kelantan akhirnya dapat menikmati perubahan yang telah lama dinantikan.
"Kelantan berhak menikmati pembangunan yang adil, seimbang dan tidak lagi ketinggalan," katanya.






